Followers

Tuesday, December 10, 2013

Tanah kubur Islam diceroboh

Tanah kubur Islam diceroboh 
Penduduk berkumpul meneliti sebahagian Tanah Perkuburan Islam disodok individu tidak bertanggungjawab untuk dijadikan ladang getah.

GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Tanah Puteh, dekat sini, terkejut apabila sebahagian daripada 2.2 hektar Tanah Perkuburan Islam Kampung itu diceroboh individu tidak bertanggungjawab bagi menanam pokok getah.

Sehubungan itu, mereka mendesak Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang membuat siasatan dan mengambil tindakan segera menghalang individu terbabit.

Masalah pencerobohan tanah perkuburan Islam disedari seminggu lalu, dan mereka membuat penelitian petang kelmarin, yang turut dihadiri Ketua Pemuda Umno bahagian, Sheikh Razali Sheikh Hamat.

Seorang penduduk, Mohamad Wahab, 49, berkata, tanah perkuburan itu diluluskan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang tiga tahun lalu, berikutan kampung terbabit belum ada tanah kubur untuk orang Islam.

Menurutnya, kerja mengukur bagi menetapkan keluasan tanah berkenaan juga dilakukan, tetapi tanah perkuburan terbabit belum dibina pagar.

“Saya bersama penduduk yang berusaha bagi mendapatkan kelulusan pejabat berkenaan untuk tanah perkuburan Islam itu.

“Memang tanah perkuburan itu sudah rasmi apabila beberapa penduduk yang meninggal dunia dikebumikan di situ, namun ada individu yang mencerobohnya,” katanya.

Raja Aziz Raja Daud, 63, pula mengakui penduduk baru menyedari perkara itu dan bimbang jika tidak dihalang kemungkinan semakin luas tanah kubur akan disodok.

Katanya, individu yang menyodok sebahagian tanah kubur itu memang sudah dikenal pasti dan mengharapkan pihak berwajib yang bertindak menghalangnya.

“Bagaimanapun, kita juga akan bermuafakat bersama penduduk untuk menghalangnya jika perkara itu terus berlaku dalam masa terdekat ini,” katanya.

Menurut seorang lagi penduduk, Zulkifli Kamariah, 57, kebanyakan penduduk terkejut apabila mendapati sebahagian tanah kubur itu disodok individu terbabit.

Katanya, memang sudah ada anak pokok getah ditanam di kawasan berkenaan, tetapi belum lagi secara menyeluruh dan aktiviti itu perlu dihalang bagi mengelak kejadian buruk berlaku selepas ini.

“Kita serahkan dahulu kepada pemimpin tempatan untuk menyelesaikan perkara ini dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebelum penduduk mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.