Followers

Showing posts with label CINTA. Show all posts
Showing posts with label CINTA. Show all posts

Wednesday, November 20, 2013

Tipu Daya Syaitan Terhadap Manusia

langit biru

Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh perkara menurut Imam Ghazali iaitu:

1. Syaitan melarang manusia taat kepada Allah. Sedangkan orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan: ‘Aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.’

2. Syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan : ‘Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.’ ; Orang-orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: ‘Kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal berlainan.’
3. Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: ‘Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.’ ; Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: ‘Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.’

4. Syaitan akan menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan: ‘Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah swt dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).’

5. Syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal: ‘Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.’ ; Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa: ‘Semua keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula.’

6. Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara yang keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali orang-orang yang cerdik dan berfikir. Syaitan berbisik dalam hati manusia: ‘Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir (kejahatan), jangan sampai diketahui oleh orang lain .’ ; Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan: ‘Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.’

7. Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: ‘Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.’ ;

Orang-orang yang dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan: ‘Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintahNya. Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendakNya. Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat.

Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar ; Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti! Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan; Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga, Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita.’

Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah swt agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufiq dan keredhaan. Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.

Saturday, September 28, 2013

Rahsia Rumah Lelong Lubuk Duit


Salam hormat,

Ramai yang teruja di luar sana apabila
dikhabarkan bahawa rumah lelong mampu
memberi pendapatan lumayan!

Namun tak ramai tak caranya. Malah tak
ada sesiapa yang sanggup kongsikan rahsia
mereka kerana ianya adalah peluang yang
mereka mahu simpan diam-diam.

Namun, hari ini semuanya berubah!

Tuan Shafie Bustan, atau digelar sifu rumah
lelong telah bongkarkan segalanya!

Testimoni hebat yang saya lihat di laman
web mengatakan ini adalah mahakarya yang
perlu dirahsiakan!

Jangan tunggu, lihat sendiri disini

Tempah sekarang!

Saturday, September 14, 2013

Permpuan Suka Cakap Terbalik Bila Lelaki Dengar Macam Pelik


Satu petang, Si suami yang baru pulang dari kerja, ingin memanjakan isterinya, “Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah”. Sambut isterinya, “Eh nasi banyak lagi tu bang, gulai pun ada lagi tu. Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu”. Kalau diikutkan jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi tindakannya berlainan. 

Si isteri masuk ke bilik terus menukar baju dan membelitkan tudung di kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya. Sambil menunggu isterinya, dia mencapai surat khabar yang dibawa daripada pejabat tadi. Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri membantah tetapi nampak bergegas menukar baju, maknanya dia setujulah tu.

Setiba di gerai “char kue teow” yang biasa mereka singgah, adik di gerai tu menghampiri mereka dan bertanya, “Pak Cik nak makan apa?”. Pantas suaminya menjawab, “Char kue teow”. Ditegur isterinya, “Ish Abang ni, mintalah yang lain pula, mee ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char kue teow ni”. Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, Abang tengah lapar, nak makan char kue teow le, Awak nak yang lain, pesan je la”. Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan lantas memesan bihun sop untuk dirinya.

Sedang mereka menjamu selera, isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan menjerat, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Sambil kepalanya masih tunduk menyedut lelehan kuah kue teow itu, suami membalas, “Sedap”. Terus melicinkan char kue teow kegemarannya itu. Apabila isterinya melihat piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak tu makan, bukan nak ingatkan saya”. 

Tergamam suami mendengarnya terus membela diri, “Tadi tak cakap pun nak”. Sambut isterinya, “Dah cakap tadi, abang buat tak faham je”. Dibalas suaminya untuk membela dan membenarkan dirinya, “Mana Abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan lagi satu”. Suara masing-masing mula meninggi. Isteri merasakan suasana romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak makan di gerai tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami kehendaknya malam itu. 

Bagi Si suami pula, asalnya tadi keluar makan di luar untuk membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah memasak di rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istemewa daripada isterinya. Tetapi sekarang, telah bertukar menjadi medan peperangan dingin dengan isterinya di meja char kue teow pula. Mengapa perkara ini boleh terjadi?

Kebiasaan wanita, apabila mereka berkomunikasi, mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka menggunakan bahasa berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing sebagaimana peribahasa Inggeris “beats around the bush”. Laporan ScienceDaily (Jan. 21, 2005) berjudul “Intelligence In Men And Women Is A Gray And White Matter” mengatakan binaan otak wanita yang memang telah diprogramkan memiliki lebih “white matter” yang bertugas menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan ‘komunikasi-bahasa-tidak terus’ ini.

Bercakap adalah asas perhubungan yang utama bagi wanita. Mereka menggunakan pendekatan ini untuk membina jambatan perhubungan dengan orang lain untuk mengelakkan konfrantasi secara terbuka, bersopan santun dan berbudi bahasa. Wanita memang suka menggunakan proses komunikasi cara ini untuk menyampaikan mesej terutama sekali kepada orang yang dia sayangi. 

Bagi mereka, jika orang yang dia sayangi ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang yang romantik. Sebagai contoh kalau mereka berdua sedang menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya berasa lapar. Pada masa itu mereka sedang melalui deretan kedai-kedai makan. Terdapat beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan untuk memberitahu suami yang mereka lapar. 

Mereka tidak sanggup mengungkapkan perkataan, “Abang saya lapar, berhenti di kedai makan depan itu sekarang”. Mereka akan menggunakan bahasa tidak terus seperti berikut, “Abang tak lapar ke?”. Atau, “Dulu kita pernah makan di kedai depan tu kan, sedap masakannya”. Atau, “Tomyam kedai di depan tu sedapkan Abang”. Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan lelaki tidak faham. 

Maka suami yang romantik ialah apabila sahaja dia mendengar isyarat ini, dia telah tahu bahawa isterinya sedang lapar dan mahu makan. Tanpa bersoal jawab, dia terus sahaja membelokkan keretanya ke halaman deretan kedai makan dan mencari pakir yang dekat dengan restoren yang dia sebut tadi.

Namun kebanyakan lelaki tidak faham dengan bahasa-tidak-terus ini. Minda lelaki yang memiliki lebih sepuluh kali “grey matter” daripada wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan ungkapan atau ayat-ayat yang berlapik-lapik ini. Kefahamannya hanya bergantung kepada apa yang diucapkan. Dia tidak pandai untuk mentafsirkan apa yang tersirat daripada apa yang tersurat. Oleh itu, jika isterinya beri isyarat. “Abang tak lapar ke?”, Dia akan jawab, “Tak lapar” dan meneruskan pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya ini akan dicopkan sebagai tidak romantik.

Berbalik kita kepada kisah yang mula-mula saya paparkan itu. Apabila isteri bertanyakan kepada suaminya, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Ini bermaksud, “Abang, saya nak rasa sikit char kue teow tu”. Dan sebaik-baiknya, tanpa soal jawab, suaminya itu terus menukar piring char kue teownya dengan mangkuk bihun sop isterinya. 

Selepas minum separuh, suami itu juga menukarkan gelas minuman milo aisnya dengan minum isterinya. Suami yang berbuat demikian dicopkan sebagai seorang yang romantik. Dia bukan hanya dipuji kerana memahami kehendak isterinya, malah isteri juga puas kerana dapat merasai dua jenis makanan dan minuman pada malam itu dengan harga yang dibayar oleh seorang mengikut perkiraan wanita.

Berikut saya paparkan sedikit daripada ungkapan bahasa-bahasa-tidak-terus yang boleh dijadikan panduan kepada suami jika dia terdengar isterinya.
1. Bila suami mengajak isterinya pergi ke sesuatu tempat dan isterinya menjawab, “Tengoklah”. Besar kemungkinan maksudnya dia tidak mahu pergi.
2. Bila suami isteri sedang berbincang untuk membeli atau memberikan sesuatu kepada isteri, tetapi dalam perbincangan itu timbul pelbagai masalah hingga isterinya seolah-olah mengalah, “Saya tak kisah”. Sebenarnya apa yang dia maksudkan itu ialah dia kisah dan mahu juga benda itu.
3. Bila suami pulang dari kerja dan sesampai di pintu, isterinya menegur suaminya, “Abang letih eh”. Bagi suami yang tidak faham, pasti akan menjawab apa yang dia rasai seperti, “Aa, letih”. Maka kecewalah isterinya itu kerana maksud sebenar ialah dia hendak mengajak suaminya keluar masa itu juga.

Mengapa orang lelaki tidak faham bahasa perempuan ini ialah kerana kebiasaannya orang lelaki berkomunikasi menggunakan ayat yang pendek, terus, tepat kepada maksudnya dan penuh dengan fakta. Lelaki dengan watak kepimpinan dan penguasaan sering menggunakan komunikasi ini untuk mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang lain. 

Di dalam perniagaan, cara komunikasi sebegini amat sesuai untuk membuat keputusan dan keberkesanan perundingan dengan cepat. Tetapi kalau cara ini digunakan untuk berkomunikasi dengan orang perempuan, ia dilihat sebagai kurang sopan dan tidak beradab.

Oleh itu nasihat saya kepada suami yang ingin memahami bahasa terbalik isterinya ialah,
1. Bila isterinya bersuara, cuba dengar betul-betul ungkapannya dan lihat juga air muka serta pandangan matanya. Pasti kita boleh memahami maksudnya sama ada terus atau terbalik melalui tonasi dan bahasa badannya.
2. Kalau suami masih merasai tidak faham maksudnya, cepatlah bertanya secara terus terang, “Apa maksud awak tadi?”.
3. Bila suami telah memahaminya, maka simpanlah ilmu dan kemahiran ini untuk digunapakai masa depan apabila diucapkan oleh isterinya nanti. Pastinya suami ini dilebelkan sebagai lelaki yang paling romantik.
4. Terimalah cara bahasa terbalik yang amat memeningkan kepala ini sebagai tanda isteri masih sayang kepada kita. Kebiasaannya, isteri tidak menggunakan kaedah ini kepada sesiapa sahaja yang dia tidak kenal melainkan kepada orang yang dia sayangi dan teman sejenisnya

Kepada isteri pula,
1. Sebelum anda menggunakan bahasa berbahasa ini kepada suami, sila lihat dulu keadaan suami anda. Jika dia dalam keadaan serius atau kelihatan letih atau mengalami stres, jangan gunakan lagi pendekatan ini. Dibimbangi, ketidakfahamannya nanti boleh menyebabkan jiwa panas barannya mengganas.
2. Kalau keadaan suami kelihatan ceria dan bersedia untuk bergurau senda, bolehlah anda bermanja-manja menggunakan bahasa terbalik berpusing-pusing ini untuk menagih kehendak dan keperluan anda. Kalau dia tidak faham juga, anda hendaklah dengan suara manja menerangkan maksud sebenar. Jangan mengharapkan dia faham sendiri kalau dia kelihatan tidak faham. Nanti anda juga yang kecewa.

Wednesday, July 31, 2013

Kebahagiaan Dalam Pencarian

alt“Suhana, kau pernah minat pada seorang lelaki tak?” tanya kawan saya ketika kami sedang duduk berehat.
“Pernah lah,” jawab saya. Agak segan kerana soalan sensitif yang dilontar oleh kawan.
“Kalau kau suka, kau akan buat apa?”
“Aku akan berdoa dalam hati, Allah, aku suka akan dia, jika dia adalah jodohku, maka dekatkanlah dia untukku, jika bukan maka berikanlah yang lebih baik dari itu,” jawab saya.
“Oh…” terdiam seketika kawan saya itu.
Benar, setiap orang pasti pernah jatuh cinta. Namun bagi yang menjaga iman dan diri, pasti dipendamkan dahulu, cuba berusaha dengan cara yang betul untuk meraih cinta tersebut. Berusaha untuk tidak mencemari diri dari melakukan perkara-perkara yang mampu mencalarkan maruah diri dan sebagainya.
Jangan jadi manusia terhegeh-hegeh dan terlalu menguja.
Wanita fitrahnya adalah seperti daun semalu, yang berduri dan bila disentuh tertutup malu. Seperti bunga mawar yang indah namun penuh berduri tajam. Jangan dihilangkan fitrah itu, kerana cinta anda sanggup mengejar sesuatu yang pasti bukan kepunyaan anda.
Seringkali kerisauan mengenai jodoh menjadi pendorong kepada berlakunya ikatan kemanusiaan jantina yang berbeza yang tiada nilai di sisi agama – bercouple tanpa sah!
Atas alasan takut diri tidak laku, maka jika sesiapa lelaki yang menghulur cinta maka terus diterima tanpa berfikir dengan akal yang waras. Maka ketetapan Allah mengenai jodoh tidak dipeduli kerana kerisauan yang sering menghantui diri.
Sudah dibilang pelihara diri anda, maka peliharalah kerana itu bukan sesuatu yang merugikan. Namun, jika diri sudah terperangkap dengan mainan emosi kerisauan ini, segeralah bermuhasabah.
Ya, benar.. saya akui, jodoh tidak akan bergolek, ia perlu dicari. Namun, pencarian anda itu bagaimana caranya? Adakah mengikut syariat atau tidak? Adakah anda yakin pacar anda sekarang pasti meminang anda atau tidak?
Dan akhirnya pasti kalian menjawab, “terserah pada Allah, moga inilah jodohku..”
Nah, akhirnya anda sendiri akur untuk berserah juga akhirnya, tetapi berserah setelah mengikut pencarian yang salah, anda sendiri mampu menafsir apa yang berlaku seterusnya.
Saya tidak menafikan juga bahawa kebahagiaan itu tidak mampu dinilai. Tapi sedarlah wahai sekalian sahabatku, kita sering bermimpi indah selepas perkahwinan, punya anak-anak yang soleh dan sebagainya, tapi hakikatnya kita masih kabur dalam menilai erti perkahwinan itu sendiri.
Seharusnya perkahwinan ini mampu menghasilkan generasi Islam yang lebih mantap, bukan pewaris kepada dosa-dosa yang kalian sudah lakukan sebelumnya.
Tuntasnya, saya mahu mengingat kepada diri serta sahabat sekalian bahawa carilah jodoh anda dengan cara yang paling diredhai oleh Allah.
Berpacaran bukanlah jalan terbaik untuk mengatasi masalah kerisauan anda tentang jodoh. Jika indah akhlak kalian, menjaga peribadi anda, jodoh itu sendiri datang kepada kalian tanpa disedari.
Mahu pasangan yang soleh dan solehah? Andalah yang perlu menjadi soleh atau solehah dulu…
Mintalah kepada-Nya, kerana hanya Dia  yang Maha Mengetahui jodoh terbaik untuk kalian.
Apa yang perlu kalian lakukan sekarang bukanlah menjalin hubungan mesra dengan pacaran tetapi jalinlah hubungan mesra dengan Yang Maha Memiliki!
Jangan sekadar mohon jodoh, namun mohonlah juga keturunan yang baik kerana itu bisa menjadi penyejuk mata dan hatimu.
Ikutlah jalan Islam, pasti bahagia selamanya… insyaAllah!

Tuesday, July 2, 2013

Memilih Jodoh – Si A atau Si B?

Antara topik yang sering dikongsikan adalah – membuat pilihan tentang jodoh.
Pilihan itu terasa lebih sukar kerana kedua-dua calon itu kelihatan baik dan punya kelebihan masing-masing.
Juga diketahui ada kelemahan masing-masing, yang membuatkan kita amat berhati-hati bercampur bimbang membuat pilihan.
Teman-teman dan adik-adik yang dikasihi, ambillah masa yang sewajarnya untuk ta’aruf dan bangunkan komunikasi samada secara direct atau melalui orang tengah.
Adalah penting usaha kita sebagai seorang insan untuk merisik, menyiasat, menyoal selidik dan segala bentuk pencarian maklumat dan latar belakang insan yang kita cenderung menerimanya sebagai teman hidup.
Bukan mencari kesempurnaan, bukan menyelongkar keaiban insan lain – namun penyiasatan dan pemerhatian kita kepada bakal pendamping adalah persediaan penting.
Ia menjadi pembuka mata untuk kita membina rumahtangga dengan lapang dada dan bersedia dengan kemungkinan yang tiba.
Sebaiknya penyelidikan kita itu, kita musyawarahkan dengan ibu dan ayah atau orang-orang yang amanah serta berilmu. Kita bukan meminta orang lain membuat keputusan, namun pandangan mereka akan menjadi extra ’mata’ dan ‘telinga’ untuk kita memilih teman hidup dengan teliti.
iluvislam, jodoh, cinta
Jika kelak kita telah membuat keputusan memilih samada si A atau si B, ada perkara-perkara penting pula untuk DIRI KITA sendiri fokus dan lakukan.
Usah bermain-main dengan keraguan perasaan…
Akankah lelaki ini kelak membahagiakan diriku?
Adakah lelaki ini akan menjadi pemimpin yang baik untukku?
Akan tulus ikhlaskah cinta kasihnya padaku?
Adakah lelaki ini kelak akan menghormati dan menghargaiku sebagai seorang isteri?
Bagaimana kelak dia akan melayaniku sebagai isteri, akan santun dan baikkah pekertinya?
Adakah kelak lelaki ini akan boleh menyesuaikan diri dan berbuat baik dengan ahli keluargaku?
Adakah hati ini akan bahagia menjadi isteri kedua, terlibat dengan poligami?
Sesungguhnya persoalan-persoalan ini adalah penting bukan untuk si dia bakal suami, tapi manfaatkanlah persoalan ini untuk perbaikan diri kita dalam menjadi seorang isteri.
Jika jawapannya tidak seperti yang kita jangkakan dan harapkan, bila-bila masa sahaja alam pernikahan akan mengundang kecewa dan gundah berpanjangan.
Sebaliknya, marilah bertanya pada diri…
Wahai diri, adakah keperibadian seperti diri ku ini kelak akan membahagiakan hati seorang suami?
Adakah karakter diriku ini membuatkan suamiku tenang dan senang dengan diriku sebagai orang/ isteri yang dipimpin?
Mampuku diriku tulus mencintai suami kerana Allah, bersabar dan berhikmah dengan seribu satu kelemahannya?
Mampukah kelak diriku menghormati keputusan dan tindakan suamiku sebagai pemimpin, walau ia berbeza dengan kehendak dan rasa hatiku?
Mampukah diriku menjadi isteri yang merasa cukup (qanaah) dan menghargai pemberian dan kebaikan suami setulusnya?
Kelak adakah diriku mampu untuk memilih akhlak seorang isteri yang penuh ketaqwaan sewaktu hati dicuit ketidakpuasan dan kemarahan jua kesedihan?
Harus bagaimana nanti untukku menyesuaikan diri jika ibu bapa mertua dan ipar duai tidak serasi cara hidup dan pemikiran mereka denganku?
Seandainya diriku menjadi isteri kedua atau ketiga, apakah sumbangan dan perananku untuk menambah kebahagiaan suami dan keluarganya yang sedia ada?
Nah.. ayuh kita bersama menjawab persoalan ini, dan mengubah diri menjadi lebih baik.
Ya, kita takut tersalah pilih dalam membuat keputusan untuk pernikahan,namun percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang melakukan kebaikan, yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Sikap, karakter diri, dan penghayatan Islam pada diri kita sendiri insya-Allah kelak akan bawa pengaruh yang besar pada suami dan rumahtangga.
nikah, iluvislam, jodoh, cinta
Saat ini, berusahalah memilih calon suami yang beriman, usah keterlaluan memikirkan masa depan yang kita tak ada kawalan.
Isteri yang baik, tidak semestinya memiliki suami yang baik, kerana pernikahan adalah ruang ujian, teman hidup kita boleh saja menjadi ujian getir dalam hidup yang sebentar ini.
Suami akan berubah – cepat atau lambat, namun moga sifat dan sikap kita yang penuh nilai-nilai kebaikan mampu menjemput suami dan anak anak berubah kepada jalan yang dicintai tuhan.

Tuesday, June 25, 2013

Hanya Kau Dan Aku

bunga
“Lalu ada siapa?”
Mamat tahu langit yang akan ditatapnya esok, tetap akan sama dengan langit yang ditatapnya sekarang. Kalau berbeza sekalipun, mungkin larik-larik awan. Entah mengapa angin hari ini kuat. Mungkin angin kuat itu juga yang menjadi berus langit, mewarnanya dengan awan. Ah, itu logik Mamat. Logik orang kampung.
“Kalau hanya aku? Mengapa?”
Murni tidak pernah berasa seperti ini. Tangannya sesekali berasa sejuk, seperti kurang darah. Digosok-gosok tapak tangannya, semoga darah kembali ke situ. Tidak tahu Murni atas sebab apa dia buat begitu, cuma biasanya di filem-filem barat yang ada salji memang itulah cara mereka, mengosok-gosok tapak tangan. Tetapi Murni tetap berasa tangannya sejuk.
“Kalau hanya ada kau, itu hal besar. Kau tahu, aku perempuan dan kau lelaki. Memanglah ilmu agama aku tidak tinggi, tapi aku tahu tinggi mana nafsu orang seperti kita, yang kurang ibadahnya.”
Mamat cuba tersenyum, tetapi tertahan entah di mana. Sekejap terasa tertahan di dada, sekejap terasa tertahan di kerongkong. Susahnya juga mahu senyum pada sesuatu yang bernama kebenaran. Mungkin sahaja kerana kebenaran itu tidak memihak kepada dia.
“Kalau begitu, kita pulang sahaja.”
Murni berpaling memandang jalan raya tar yang belum diberi garis. Rumput-rumput di tepi jalan sudah meninggi. Tidak ada yang mahu memotongnya kerana upah yang ketua kampung beri, adalah upah tahun 70-an. Rendah dan menghina. Fikiran Murni larut pada rumput-rumput yang meninggi itu, dia tersenyum.
“Itulah yang seeloknya.”
Mamat ke barat dengan langkah yang seperti punya mata, memandang ke langit, melihat awan yang dia tahu ada namanya, tetapi dia tidak peduli. Kerja memberi nama kepada alam ini adalah kerja orang putih. Itulah fikirnya. Namun sesekali dia tetap yakin, langit itu akan tetap sama, hari ini, esok, lusa dan sehingga dia mati. Langkahnya pun menjauh.
“Saya balik dulu.”
Murni ke timur. Ke arah rumput yang meninggi. Tangannya sudah mula terasa darahnya, panas. Aneh rasanya. Kuasa apa yang membuat tangannya sejuk tadi? Biarlah kuasa apapun. Yang penting, dia tahu dia semakin jauh, dan fikirannya terus kepada soalan, mengapa jalan tar itu belum diberi garis?
—-
Ingat hadis Nabi s.a.w. :
“Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah syaitan.” (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

Friday, June 21, 2013

Saat Paling Bahagia Bagi Suami


Seorang isteri bertanya kepada suaminya, “Apakah saat paling bahagia dalam hidup abang?”

Suaminya memandang muka isteri dan berkata, “Saat itu belum terjadi lagi..”
Si isteri terdiam sejenak.
Kemudian dia bertanya lagi, “Dan bila saat itu akan terjadi?”
Suaminya berkata : “Saat itu adalah hari di mana awak membuka pintu dan berkata kepada saya, “Abang, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” di dalam rumah kita di syurga..”
Rasulullah s.a.w pernah berdoa :
“Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.” (Riwayat Muslim no. 2491)
Firman Allah SWT :
Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat ke-6)
Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia mengejutkan isterinya lalu si isteri mengerjakan solat. Bila isterinya enggan untuk bangun, ia percikkan air di wajah isterinya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia mengejutkan suami lalu si suami mengerjakan solat. Bila suaminya enggan untuk bangun, dia percikkan air di wajah suaminya.” (Sanad hadis ini shahih kata Asy-Syaikh Ahmad Syakir dalam tahqiqnya terhadap Al-Musnad)

Monday, January 28, 2013

Nikmatnya Perpisahan Insan Bercouple

Nikmatnya Perpisahan Insan Bercouple

"Aku memang sangat mencintainya. Tapi aku terpaksa clash dengan dia.."
"Kenapa pulak?"
"Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah."
Pergh.. terbaiklah bro! Alhamdulillah..
Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. Tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.
Ya.. begitulah.. Memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber'couple', iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.
~Cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih. 
Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber'couple'. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.
Itu barulah 'saling menyayangi' namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka? Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan? Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?

Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber'couple' itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber'couple' (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya 'kehilangan' atau perpisahan. Kerana 'kehilangan' atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.
Allah 'Azza Wa Jalla berfirman;
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"
(Surah al-Baqarah ayat 216)
"biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia."
Sahabat-sahabat semua.. Marilah sama-sama kita renungkan... Belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita 'bercouple' bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.
Jika pasangan kita itu ditaqdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun 'suprise' yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.
Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Allah SWT. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal. 

Marilah kita hayati dan amalkan doa ini. Semoga Doa Nabi Daud A.s ini memberi kita semangat dan teguh dalam mencinta Allah SWT sepenuh hati kita melebihi cinta kepada makhlukNya.
" Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, Dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu,
Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.
Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.
(Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda, "Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud a.s"
Wallahu Ta'ala A'lam
 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.