Sultan Ahmad Shah berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan SJK(C)
Chung Ching, semalam.
KUANTAN - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa dukacita di atas kejadian banjir di negeri ini hingga lebih 35,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan sehingga jam 10 pagi semalam.
Baginda bertitah, pada masa ini Kerajaan Negeri Pahang sedang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir terutamanya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
“Saya berdukacita kerana negeri kita dilanda banjir tapi kita kena terima ketentuan ALLAH.
"Saya sedih tengok mangsa yang duduk beramai-ramai di pusat pemindahan.
“Saya sendiri dan kerajaan negeri bertungkus-lumus menolong mangsa terlibat,” titah baginda kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)(C) Chung Ching, semalam.
Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah turut berpuas hati dengan segala bentuk bantuan yang dihulurkan kerajaan pusat, kerajaan negeri, swasta dan individu dalam membantu mereka yang terjejas.
Pada masa sama baginda berharap semua mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa dua atau tiga hari lagi, bergantung kepada keadaan cuaca.
Dalam perkembangan sama baginda turut dukacita berikutan banjir kali ini turut mengundang tragedi apabila dua beranak di Sungai Isap Jaya di sini dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik petang semalam.
“Perkara seperti ini berlaku tanpa diduga dan mereka (mangsa) tidak harus disalahkan.
“Dalam situasi seperti ini mangsa ada kalanya terpaksa kembali ke rumah untuk melihat keadaan dan menyelamatkan harta benda walaupun terpaksa membahayakan nyawa,” titah baginda.
Sultan Ahmad Shah sempat menghadiri taklimat banjir di Wisma Seri Pahang kira-kira jam 10 pagi sebelum melawat pusat pemindahan pertama di SJK (C) Chung Cheng.
Baginda kemudian meneruskan lawatan meninjau lokasi banjir dan pusat pemindahan di sekitar Sungai Isap yang turut terjejas.
Selain itu baginda juga melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Wisma Belia, Indera Mahkota dan Stadium Sukpa.