Walaupun mengakui masih sayangkan karier seninya, namun bekas kekasih Shila Amzah, sebenarnya sangat tertekan dan kecewa dengan kontroversi yang sering menimpa dirinya.
"Kalau ikutkan hati, saya memang mahu bersara terus dalam bidang seni. Maklumlah, terlalu banyak tuduhan dan kata-kata yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada saya.
“Selama hampir setahun apabila saya dilanda pelbagai cerita dan kontroversi, saya hanya diam. Tetapi apabila diam pun, saya dihentam teruk di laman sosial dan sebagainya.
"Kerana itulah, saya terfikir ambil keputusan untuk bersara. Apabila saya dah nekad bersara mereka pandai pula diam,” jelas Sharnaaz ketika ditemui di Majlis Pelancaran di Best Western Premier, Kuala Lumpur, Khamis, lalu.
Menurut Pelakon drama bersiri Ruby ini, dia juga sangat kesal apabila keluarganya turut diheret sama dalam permasalahannya. Pun begitu, sehingga kini dia masih mendapat sokongan keluarga, terutama ibunya yang tercinta.
"Ibulah paling terkejut bila saya buat keputusan mahu bersara. Dia minta saya fikirkan masak-masak dulu sebelum buat keputusan.
"Dan sekarang, saya masih berbincang dengan keluarga. Tapi sekiranya saya masih berada dalam industri seni, jangan sesekali sentuh dan libatkan keluarga saya, jika tidak, 'stanby' saja!," katanya yang turut kecewa dengan kenyataan ibu bapa Shila terhadap dirinya sebelum ini.
Tawaran dari Singapura
Sementara itu, Sharnaaz turut mendedahkan bahawa dia ada menerima tawaran lakonan dari sebuah syarikat penerbitan Singapura.
"Saya terlupa yang saya ada berjanji secara lisan dengan sebuah syarikat dari Singapura untuk terlibat dengan drama mereka yang berjudul ‘Cinta Ramadan’.
"Tiga hari lepas, mereka ada menghubungi saya dan bertanya apakah saya betul-betul mahu bersara. Saya hanya menjelaskan ia masih belum muktamad," katanya yang kini sedang menjalani penggambaran, Bukan Kerana Aku Tak Cinta untuk saluran Astro Mustika.
Bakal bersiaran pada 9 Disember ini, Sharnaaz turut berkongsi pengalamannya membintangi watak Jebat dalam drama bersiri itu.
"Memang saya sangat sukakan watak dalam drama ini kerana ia hampir dengan diri saya. Kerana itu, saya dapat menjiwainya dengan baik," ujarnya yang membintangi drama itu di samping Nelydia Senrose.