Followers

Sunday, December 15, 2013

Islam tidak ajar suami bertindak ganas

Muhamad Amiro Safwan Mohd Kamil  
Muhamad Amiro Safwan Mohd Kamil

SUAMI berperanan sebagai pemimpin bagi sesebuah rumah tangga. Sudah tentu rumah tangga lebih bahagia dan diberkati  sekiranya peranan dilaksanakan mengikut lunas-lunas agama.

Islam tidak mengajar keganasan dalam rumah tangga. Sebaliknya menuntut perkahwinan itu dilalui penuh aman damai yang boleh membawa kebahagiaan berpanjangan.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam melayan isteri. Baginda menjadi pendengar yang baik sewaktu berbicara dengan isteri. Bahkan baginda tidak pernah mengangkat suara sehingga menimbulkan kurang senang dipihak isterinya.

Baginda juga suami yang ringan tangan di dapur, sering menolong isterinya memasak. Sedangkan pada masa sama Rasulullah adalah Ketua Negara Islam Madinah yang hebat ketika itu.

Kes penderaan terhadap isteri pula ada berlaku bahkan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Lihat sahaja bagaimana seorang isteri kepada pemerintah zalim bernama Firaun yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. Dia beriman kepada ALLAH akan tetapi berada di bawah kezaliman suaminya sendiri.

Sudah pasti kalaulah keislamannya diketahui suaminya, dia akan dibunuh tanpa belas kasihan. Ini menunjukkan kepada kita bagaimana penderaan perasaan yang dialami seorang isteri sehingga dia berdoa kepada ALLAH ke atas kezaliman yang dilaluinya.

Seorang suami sama sekali tidak boleh mengabaikan isteri sehingga akhir hayat. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Ibnu Majah bermaksud: “Ya Rasulullah, Apakah hak isteri yang wajib dijaga oleh suami?

Lalu Baginda bersabda: hendaklah suami memberi nafkah kepada isteri, belanja dapur, pakaian dan rumah, jangan sesekali memukul muka isteri, didiklah isteri dengan cara baik, dan tidak menghina isteri serta tidak meninggalkannya bersendirian kecuali di dalam rumah.”

ALLAH juga menjelaskan tentang kewajipan melindungi golongan wanita atau isteri sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Nisa’ ayat ke-34, bermaksud: “kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan dengan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan ALLAH dan pertolonganNya…”

Berdasarkan dalil di atas fahamlah kita bahawa sama sekali tidak boleh seseorang lelaki atau suami melakukan penderaan atau bertindak ganas ke atas isteri mahupun golongan wanita.
Islam mengajar banyak perkara kepada kita termasuklah bimbingan kepada suami tentang cara mendidik isteri yang derhaka (nusyuz). Pertama melalui nasihat iaitu menegur, berbincang dan berkomunikasi melalui nada senang dan mudah difahami.

Jangan sesekali suami menghamburkan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan isteri walaupun isteri melakukan kesalahan. Nasihatilah isteri dengan bijaksana mudah-mudahan dia berubah.

Kedua, memulaukan dengan mengasingkan tempat tidur isteri. Ini secara tidak langsung memberi pengajaran setelah dinasihati pun masih berdegil. Pengasingan seperti ini dilakukan agar isteri berasa dirinya terabai, maka dia akan meminta kemaafan daripada suaminya.

Ketiga, ALLAH membenarkan suami memukul isteri sekiranya  masih tidak berubah setelah dinasihati dan diasingkan tempat tidur. Namun perlu diingat, pukulan itu bukanlah sehingga menyakitkan , tetapi pukulan ringan bertujuan mengajar.

Penyunting Al-quran Jabatan Penerbitan Al-quran, Kumpulan Media Karangkraf, Muhamad Amiro Safwan Mohd Kamil.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.