PENGAWAL keselamatan, Azman Md Nayan sekali lagi menjadi bualan ramai di alam maya apabila fotonya bersama aktres jelita, Izara Aishah dan pelakon meningkat naik, Dazrin Kamarudin di kawasan parkir di sebuah lapangan terbang tersebar luas.
Difahamkan, mereka sedang menjalani penggambaran untuk drama TV9, Cinta Pandang Ke-2 arahan pengarah berbakat besar M Nazir Juhan atau Jet Lee.
Penampilan pengawal keselamatan itu yang sebelum ini terlibat kontroversi kerana insiden maki hamun oleh isteri kepada pemain bola sepak terkenal negara ternyata mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Selain ada yang memuji, ada juga menyifatkan bahawa produksi drama tersebut sengaja mencari publisiti di atas kontroversi yang melanda pengawal keselamatan itu.
Bagaimanapun, pengarah drama berkenaan, Jet Lee memberitahu, penglibatan Azman dalam drama arahannya itu hanya satu kebetulan.
"Ketika itu, kami sedang buat penggambaran di kawasan parkir, sebuah lapangan terbang.
"Oleh kerana melibatkan tempat parkir, kami memerlukan seseorang yang beruniform, jadi pengurus produksi panggil Azman untuk menjadi pelakon tambahan sebagai pengawal keselamatan yang juga memang tugasnya.
"Kebetulan pula, waktu itu dia sedang berehat makan tengah hari," katanya pada Zass.
Mengulas mengenai babak berkenaan yang dikatakan sama seperti pernah dialami oleh pengawal keselamatan itu, kata Jet Lee, dia tidak berniat untuk menyindir apatah lagi menyinggung perasaan orang lain dengan watak yang diberikan kepada Azman itu.
"Dia bawa watak sebenar, jadi saya hanya suruh dia berkelakuan seperti dia sedang bekerja.
"Jadi, sebagai seorang pengawal keselamatan di kawasan parkir dia berhak untuk menegur apa yang betul atau tidak," katanya sambil memberitahu babak lakonan Azman hanya mengambil masa selama dua minit.
Drama adaptasi novel Karangkraf
Bercerita lebih lanjut mengenai drama rantaian terbarunya, Cinta Pandang Ke-2, Jet Lee berkata ia adalah drama adaptasi novel berjudul sama karya Laila Kamilia yang diterbitkan oleh Kumpulan Media Karangkraf.
Drama 13 episod ini diterbitkan oleh ZK Creative Production Sdn. Bhd dan akan ditayangkan di slot Aurora di TV9 dan bakal menemui penonton Disember nanti.
"Selain Izara dan Dazrin, drama bersiri ini turut dibintangi Maria Farida, Ridzuan Hashim, Norman Hakim, Erynne Erynna, Along Eyzendy, Amira Rosli, Abby Nour dan ramai lagi," katanya.
Ketika ditanya mengenai cabarannya, Jet Lee menjelaskan dugaan utamanya adalah faktor cuaca yang kini tidak menentu menyebabkan terdapat sedikit gangguan perubahan jadual.
Drama bersiri Cinta Pandang Ke-2 berkisar mengenai seorang rakan lama Zairul lakonan Dazrin dan Ainnur Azleen (Izara) yang tidak pernah sebulu walaupun mereka berdua sekelas.
Tindakan Zairul yang sering menyakitkan hati Ainnur menyebabkan wanita itu berasa hati lalu bertukar sekolah. Mereka terpisah bertahun lamanya sehingga dipertemukan semula di tempat kerja sehingga membuatkan Zairul jatuh cinta dengannya.