Followers

Tuesday, November 19, 2013

Hina mahkamah: Ibrahim Ali dipenjara sehari, denda

Ibrahim Ali  
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR - Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini dihukum penjara sehari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menghina mahkamah berhubung artikel berkaitan seorang hakim yang mendengar kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.
  
Hakim Datuk John Louis O'Hara memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan Ibrahim ditahan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan akan dibebaskan selepas pukul 5 petang.
  
O'Hara berkata jika Ibrahim gagal membayar denda itu beliau boleh dipenjara dua minggu.
  
Seorang daripada peguam yang mewakili Ibrahim, Adnan Seman memberitahu pemberita pihaknya akan membayar denda itu dan juga akan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan itu esok.
  
Mahkamah juga menjatuhi hukuman empat minggu penjara terhadap penulis laman sesawang yang juga penulis artikel itu, Zainuddin Salleh selepas didapati bersalah menghina mahkamah berhubung penerbitan artikel itu yang diterbitkan di laman sesawang Perkasa.
  
O'Hara memerintahkan hukuman penjara itu juga bermula hari ini.

Mahkamah juga menolak penangguhan pelaksanaan hukuman yang dipohon peguam Rajindar Singh yang mewakili Ibrahim dan Mohamed Harmy Yusoff yang mewakili Zainuddin.
  
Bagaimanapun O'Hara memerintahkan Mohamed Harmy memfailkan permohonan secara bertulis berhubung penangguhan pelaksanaan hukuman itu.
  
Dalam keputusannya, O'Hara berkata penerbitan artikel itu adalah amat menghina mahkamah secara umumnya dan secara khususnya kepada Hakim Datuk V.T. Singham, iaitu hakim yang mendengar perbicaraan kes saman itu.
  
"Penerbitan itu merupakan satu serangan kepada "integrity dan impartiality" Hakim Singham. Penerbitan itu adalah satu penerbitan yang subjudis kerana kes itu belum habis didengar," katanya
  
Beliau berkata perkara itu sangat serius dan oleh itu mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan apa yang dilakukan Zainuddin dan Ibrahim.

O'Hara berkata, bagaimanapun mahkamah juga mengambil kira faktor rayuan peguam bela Zainuddin dan Ibrahim berhubung keadaan kesihatan, umur dan peranan masing-masing dalam penerbitan artikel itu.
  
Terdahulu Mohamed Harmy dalam rayuannya berkata anak guamnya menghidap penyakit jantung dan membuat rawatan sekali sebulan di sebuah hospital dan mempunyai pendapatan yang tidak tetap.
  
Zainuddin ketika diberi peluang oleh hakim untuk membuat rayuan berkata beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.
  
Ibrahim pula memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengenai penerbitan artikel di laman sesawang Perkasa itu.
  
"Sebagai orang Islam saya bersumpah bahawa saya tidak ada kena mengena dengan penerbitan artikel oleh Zainuddin itu," katanya.

Pada 5 Mac lepas, O'Hara membenarkan permohonan Anwar untuk memulakan prosiding komital terhadap Ibrahim dan Zainuddin.
  
Pada 17 Januari lepas, Anwar memfailkan permohonan itu dan mendakwa penerbitan artikel berkenaan di laman sesawang Perkasa pada 7 Januari lepas menjatuhkan maruah hakim yang mendengar kes fitnah beliau terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak.
  
Kes saman itu adalah berkaitan dua artikel yang disiar Utusan Melayu berhubung temu bual Anwar dengan British Broadcasting Corporation (BBC).
  
Pada 21 Januari lepas, Mahkamah Tinggi  memutuskan bahawa kedua-dua artikel yang diterbitkan Utusan Melayu berkaitan undang-undang homoseksual, adalah bersifat memfitnah.
  
Anwar, dalam permohonan bagi prosiding komital, mendakwa artikel yang disiar di laman sesawang Perkasa mengandungi serangan peribadi terhadap hakim berkenaan yang terjumlah kepada penghinaan, dan disiar sebelum beliau membuat keputusan.
  
Kemudiannya ketika ditemui pemberita, Ibrahim yang berada dalam kafe di Kompleks Mahkamah, berkata beliau menerima keputusan mahkamah hari ini dengan hati terbuka dan langsung tidak mempertikaikannya.
  
Katanya beliau ditahan di lokap mahkamah selama beberapa jam dan kemudiannya dibebaskan dari lokap selepas beliau membayar denda. - Bernama
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.