Followers

Friday, November 22, 2013

Fatih Seferagic Pendakwah Milenia

Fatih Seferagic pendakwah milenia 
Fatih Seferagic

HATI terpaut tatkala mendengar kemerduan suaranya yang sedang membaca al-Quran seperti yang dipaparkan menerusi laman video Youtube. Kelunakan suaranya sangat mengagumkan. Benar-benar buat hati tersentuh!

Buktinya, jumlah tontonan di laman video itu juga hampir mencecah ratusan ribu. Tidak cukup dengan itu, jumlah pengikutnya di laman sosial Facebook dan Twitter juga masing-masing mencecah ribuan angka.

Fenomena ini sekali gus menyebabkan nama Fatih Seferagic terus menjadi bualan di kalangan anak muda masa kini. Ternyata, aura Fatih melalui alunan ayat-ayat suci yang didendangkan bakal memberi satu dimensi baru dalam kalangan belia untuk mendekati al-Quran.

Pandangan sama turut tersimpan dalam hati anak muda ini.

Menjadikan qari terkemuka dunia, Syeikh Mishary Rashid Al-Afasy sebagai ikonnya, Fatih juga ruparupanya menanam satu misi besar dalam hidupnya untuk menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh dunia menerusi caranya yang tersendiri.

Baru saja menginjak usia 18 tahun, namun semangat dan kesungguhan Fatih dalam memanfaatkan kelebihannya itu sebagai landasan untuknya berdakwah tidak seharusnya dipandang enteng.

Apatah lagi apabila dia menggunakan aset suaranya yang merdu sebagai landasan, menjadi satu nilai tambah buat Fatih dalam menyampaikan dakwah menerusi bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Malah, bagi Fatih, usia bukanlah penghalang dan mengehadkan pergerakannya dalam menyebarkan dakwah ke seluruh dunia, tetapi merupakan kelebihan yang boleh digunakan bagi menarik orang ramai untuk mendekati Islam, lebih-lebih lagi kepada golongan seusianya.

“Usia muda merupakan satu kelebihan untuk berdakwah kerana sebagai belia, kita lebih mengetahui kehendak golongan seusia yang lain dan mudah untuk didekati serta mempengaruhi mereka.

“Bagi saya juga, ini adalah satu tanggungjawab sebagai seorang Muslim dalam menyampaikan dakwah.

“Saya juga ingin menunjukkan rasa syukur dan penghargaan terhadap kelebihan kurniaan ALLAH SWT menerusi suara ini,” kata pemuda berketurunan Bosnia ini.

Cabaran berdakwah

Dakwah ialah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia kepada mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu.

Dalam usaha Fatih menyampaikan dakwah, dia bagaimanapun mengakui bahawa bukan mudah untuk mengajak orang ramai mengikuti ajaran Islam, apatah lagi untuk mempengaruhi dan menyampaikan dakwah kepada golongan yang lebih tua.

“Persepsi sesetengah golongan yang berusia sukar menerima perkongsian yang disampaikan oleh golongan muda daripada mereka dan kebiasaannya memilih yang sebaya atau lebih tua daripada mereka.

“Namun, cabaran saya untuk menjalankan usaha Rasulullah SAW ini kepada masyarakat adalah perbezaan daripada peringkat umur terutamanya yang lebih tua. Pendekatan menyampaikan dakwah kepada mereka adalah berbeza dan saya sukar untuk memahami kemahuan mereka,” katanya yang kini menjadi guru al-Quran di Houston, Texas.

Sungguhpun begitu, Fatih berkata, semua yang terjadi itu tidak pernah melunturkan semangatnya sebaliknya mendorongnya untuk melakukan yang terbaik dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dalam berdakwah.

Tambahnya lagi, orang ramai sepatutnya memahami adat menuntut ilmu iaitu bukan memandang kepada peringkat umur atau sesuatu tetapi pengisian yang ingin disampaikan oleh guru tersebut.

Seronok mengajar

Mengimbau perjalanan hidupnya sehingga berjaya bergelar hafiz muda, Fatih mula mendalami dan menghafal al-Quran seawal usia sembilan tahun dan tamat keseluruhan surah pada usia 13 tahun.

Dia kemudiannya mendapat pendidikan di Islamic Society Baltimore (ISB) dalam bidang hafazan di bawah tunjuk ajar Syeikh Qari Zahid dan Qari Abid, kemudian berpindah ke Dallas selama 10 bulan untuk belajar bahasa Arab klasik di Bayyinah’s Dream.

“Saya hanyalah pelajar al-Quran dan belum bertaraf ulama seperti Imam dan Syeikh. Saya masih lagi berusaha keras untuk mencapai ke arah itu.

“Saya cuba berkongsi dengan orang ramai apa yang dianugerahkan ALLAH SWT dan tegurlah sekiranya saya ada membuat kesilapan, kerana saya masih lagi bergelar pelajar,” katanya.

Malah, kata Fatih, jika dalam kehidupan normal dan tidak dikenali, dia sentiasa membayangkan dirinya menjadi seorang guru dan berhasrat untuk membuka sekolah.

“Sejak kecil, saya ingin belajar di Madinah dan bercita-cita untuk menjadi Imam atau guru al-Quran kerana keluarga sentiasa meletakkan saya dalam persekitaran sedemikian.

“Saya seronok mengajar tetapi sehingga kini saya tidak pernah mengajar dalam satu kumpulan yang besar,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sekiranya dia bukanlah guru al-Quran, dia akan menjadi seorang ahli terapi.

“Saya sukakan bidang kaunseling. Saya suka analisis masalah dan cuba mencari penyelesaiannya,” katanya yang turut meminati bidang psikologi.

Dalam pada itu, dia juga berhasrat untuk mendapatkan ijazah dalam ilmu Islamik mahupun Barat dan gabungkan kedua-dua ilmu berkenaan untuk membantu manusia.

Justin Bieber versi Islamik?

Keistimewaan yang dimiliki oleh pemuda ini membuatkan Fatih menjadi terkenal di seantero dunia. Namun, Fatih mengakui kehidupannya agak terganggu dengan situasi tersebut.

“Menjadi terkenal menyebabkan diri saya terdedah kepada bahana fitnah. Bagi lelaki, perempuan adalah satu gangguan dalam hidup.

“Oleh itu, saya atasi masalah tersebut dengan berkahwin. Isteri saya adalah kawan baik saya,” katanya sambil memberitahu isterinya bernama Sophia dan berasal dari Afrika Selatan.

Tidak cukup dengan gangguan itu, ada pula yang menggambarkan dirinya seperti penyanyi terkenal Justin Bieber versi Islamik.

“Saya tak suka dibandingkan dengan penyanyi itu. Kami berdua berbeza. Saya tak suka apabila orang minat saya kerana melihat dari segi luaran.

“Sangat bagus apabila orang meminati saya kerana saya boleh membaca al-Quran dengan baik, tetapi jika orang suka saya disebabkan sesuatu yang tidak penting, itu bermakna kamu perlu menilai diri kamu semula,” tegasnya.
Sama seperti remaja lain

Dalam sisi lain hidupnya, biarpun Fatih bergelar guru al-Quran, namun dia juga seperti remaja lain. Dia sukakan permainan video, mendengar muzik, bermain bola keranjang dan sukan meluncur ais.

Malah, dia juga sangat ramah dan ceria. Malah, wataknya pula sangat bersahaja. Sesuai dengan umurnya yang baru mencecah 18 tahun.

“Menjadi guru al-Quran bukanlah bermaksud mengorbankan seluruh kehidupan saya. Saya masih ada lagi masa terluang untuk membuat perkara-perkara yang saya sukai.

“Seperti remaja lain, saya juga bermain X-Box, Play Station dan permainan video lain. Saya juga suka aktiviti sukan dan paling saya minat adalah sukan meluncur ais,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan melakukan aktiviti demikian, ia juga memberi ruang kepadanya dalam mendekati masyarakat dan pada masa sama menyampaikan dakwah mengikut keadaan.

“Pembahagian masa yang seimbang adalah penting dalam melakukan segala aktiviti ini di samping tidak mengabaikan tugasan hakiki sebagai pelajar dan juga guru al-Quran.

“Sekurang-kurangnya dalam dua hari setiap minggu, saya akan meluangkan masa untuk melakukan aktiviti yang saya minati ini sekali gus memberi peluang untuk menerangkan mengenai agama Islam kepada rakan-rakan secara perlahan-lahan,” katanya yang turut membela seekor kucing bernama Cookie.

Dalam perkembangan lain, Fatih kini bakal bergelar pengacara bagi program Reflection musim baharu yang akan bersiaran bermula 5 Januari 2014 pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 9.30 malam di stesen TV Al Hijrah.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.