Followers

Saturday, November 2, 2013

Anugerah Skrin 2013 - ASK 2013



 ASK 2013
Ketahui Finalis Anugerah Skrin 2013 secara langsung di TV3 

 ACARA kemuncak Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) hanya akan berlaku pada 29 November depan, namun ramai yang tertanya-tanya drama mana yang bakal dipilih sebagai drama terbaik atau siapakah yang akan muncul sebagai pelakon lelaki dan wanita terbaik.

Daripada drama Anak Lorong, Perempuan Itu Ibuku, Bedah Tong Gas Nak Raya, Sebelum Kiamat, Fatihah Untuk Abah, Aku Bukan Malaikat, Neraka Abah dan Di Bawah Langit Mu, yang manakah bakal meraih gelaran Drama Terbaik?

Namun perlu ingat, ASK 2013 bukan sekadar mempertandingkan drama-drama yang disiarkan di saluran Media Prima Berhad (TV3, NTV7, 8TV dan TV9), pihak penganjur juga menjemput stesen televisyen RTM, ASTRO dan juga TV AlHijrah untuk bersama-sama menyertai anugerah berprestij itu.

Lima pencalonan terbaik daripada pelbagai kategori itu bakal diumumkan menerusi program yang dihoskan oleh Awal Ashaari yang disiar secara langsung di TV3, pada pukul 9 malam ini dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Shah Alam Sentral, Shah Alam.

Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Sherina Nordin berkata, ASK 2013 mencipta sejarah tersendiri apabila mengumumkan awal senarai lima pencalonan terbaik sebelum Anugerah Skrin diadakan.

"Pengumuman ini dibuat sebulan sebelum acara berlangsung bagi mencetuskan debaran di kalangan finalis yang bertanding. Kami juga ingin meraikan kesemua finalis yang tersenarai kerana mereka sudah layak bergelar sebagai pemenang berdasarkan kualiti kerja yang dipersembahkan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kesemua drama yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca televisyen mulai 1 Julai 2012 hingga 30 Jun 2013.

"Pencalonan telefilem dibuat berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement mengikut genre masing-masing.

"Lain-lain faktor telefilem ini terpilih untuk dipertandingkan adalah kerana garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap, mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton," tambahnya.

Secara keseluruhan, ASK 2013 bakal mempertandingkan 30 kategori yang meliputi 11 kategori drama, tujuh kategori filem, enam kategori penerbitan dalaman dan enam kategori teknikal.

Bersempena dengan program Debaran Anugerah Skrin 2013 yang bakal dihadiri oleh penggiat-penggiat seni itu, acara akan diserikan dengan persembahan kumpulan One Nation Emcees sebagai pembuka tirai.

Kumpulan itu akan memperdengarkan rangkaian lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dipetik daripada filem-filem Bujang Lapok seperti Resam Dunia, Pok Pok Bujang Lapok, Ya Habibi Ali Baba dan Gelora.

P.Ramlee dipilih kerana dia merupakan satu-satunya anak seni yang bergelar Seniman Agung malah filem dan lagu yang dihasilkannya tidak pernah ditelan zaman.

Selain itu penyanyi muda Asmidar juga akan menghibur tetamu dengan mendendangkan lagu Awan Nano yang dipilih sebagai juara untuk acara Anugerah Juara Lagu ke-26 yang merupakan pemenang kategori Rancangan Muzik Terbaik di ASK 2012.

Sebagai penutup rancangan, Jaclyn Victor dan Uchop akan mendendangkan rangkaian lagu daripada filem Sembilu 2 seperti Bersama Akhirnya, Senja Nan Merah dan Ukiran Jiwa.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.