Gambar Wan Zack atas kerusi roda yang diperoleh dalam akaun Twitter pemain itu semalam.
PEMAIN Paling Bernilai Pestabola Merdeka 2013, Wan Zack Haikal Wan Nor pasrah dengan ketentuan Ilahi apabila dia terpaksa berehat selama sembilan bulan selepas mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Okinawa, Jepun, petang semalam.
"Aku percaya ini semua aturan MU dan aku hanya merancang perjalanan hidupku akan tetapi kau yang menetapkan segala ketentuan.
"Aku redha dengan ini Ya Allah walaupun niat aku untuk negara dan demi keluargaku.
"Mungkin kau mahu memberi yang lebih baik dari apa yang ku merancangkan. Subhanallah," katanya menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.
Semalam, Wan Zack memaklumkan mengenai kecederaan itu menerusi laman sosial Twitter miliknya selepas menjalani pemeriksaan perubatan di hospital di Jepun.
Kecederaan itu membuatkan Wan Zack, 22, mungkin terpaksa melupakan untuk menyertai skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan Bahrain pada aksi ketiga Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini dan Harimau Muda yang bakal ke Myanmar, Disember ini untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA.
Wan Zack yan sedih apabila dimaklumkan doktor mengenai kecederaan ACL itu bagaimanapun meminta semua peminat berdoa untuknya.
“Terima kasih kepada semua yang banyak memberi motivasi dan sokongan kepada saya.
"Maafkan diri saya kerana semua ini,” kata Wan Zack sebagai menghargai peminat bola sepak negara yang mendoakannya segera sembuh.