Mereka
berdua mempunyai perwatakan yang bertentangan, sering bercakaran
seperti kucing dan anjing setiap kali bertemu. Berlatar-belakangkan
keluarga dan gaya hidup yang berbeza juga mengundang bermacam-macam
perselisihan apabila Diandra dan Adam terpaksa mengharungi rutin harian
bersama. Apabila cinta hadir tanpa dijangka, apakah keegoan seorang
lelaki akan tunduk kepada kuasa cinta?
Menyusuli Kisah Cinta, saksikan drama romantik komedi, ‘DIANDRA’ yang
menggandingkan Aiman Hakim Ridza dan Nur Fathia menerusi slot Lestary,
bermula 20 Ogos 2013, setiap hari Selasa jam 9.00 malam. Drama bersiri
13 episod terbitan Asia Media Content (AMC) ini diarahkan oleh Eoon
Suhaimi, mendapat sentuhan kreatif daripada penulis skrip, Shuhadatul
Ain Zakaria juga menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Dato’
Jalaluddin Hassan, Nur Risteena, Shawal Ruslan, Qazem Nor, Nizam Zaidie,
Amran Ismail, Yaya Maembong dan ramai lagi.
Wujudkah
Cinta Antara Mereka? Keserasian Fathia & Aiman Mengundang Konflik.
Saksikan drama Diandra bermula 20 Ogos 2013, setiap hari Selasa jam 9.00
malam di TV3
Diandra (Nur Fathia), atau nama sebenarnya Puteri Diandra Fikri
merupakan anak kepada seorang hartawan terkenal iaitu Datuk Fikri.
Diandra seorang gadis yang lasak, ceria dan berminat dalam seni
mempertahankan diri terutamanya, ‘kick-boxing’. Datuk Fikri berharap
agar Diandra akan bekerja di syarikatnya tetapi Diandra yang lebih suka
sesuatu yang mencabar terpaksa mengecewakan ayahnya.
Adam Fahmi (Aiman Hakim Ridza) pula merupakan seorang aktor yang sangat
terkenal. Dia bukan sahaja kacak tetapi bakat semulajadi dalam lakonan
juga membuatkannya sentiasa popular di kalangan peminatnya. Adam menjadi
pujaan ramai dan apa sahaja drama dan filem yang dia berlakon pasti
menjadi ‘box office’. Dek kerana populariti dan kelancangan mulutnya,
Adam mempunyai ramai musuh sehingga dia menerima ugutan bunuh.
Selepas berbincang dengan kawan baiknya, Kamal, Adam bersetuju untuk
mengambil seorang pembantu peribadi dan juga pengawal keselamatan yang
boleh menguruskan jadual dan keselamatan dirinya. Apa yang tidak
dijangka oleh Adam ialah Kamal mencadangkan kawan baiknya, Diandra.
Walaupun masing-masing tidak berkenan dan tidak bersetuju, selepas
dipujuk oleh Kamal, Adam dan Diandra cuba bekerjasama.
Diandra meluat dengan perangai Adam yang angkuh dan juga kaki perempuan
manakala Adam pula melayan Diandra yang lasak itu seperti seorang
lelaki. Diandra yang selalu dibuli itu mencari peluang untuk mengenakan
Adam sehingga suatu hari mereka bergaduh lagi di lokasi penggambaran,
dimana Diandra yang tidak tahan diperli telah menolak Adam ke kolam
renang. Tiada siapa yang mahu menolong kerana sikap ego Adam yang
seringkali menyakiti hati orang lain. Akhirnya, Diandra menjadi panik
apabila dia mendapati Adam tidak pandai berenang dan hampir lemas.
Bagi menebus kesalahannya, Diandra melayan karenah Adam sepanjang
menerima rawatan di hospital. Barulah Diandra mempunyai peluang untuk
mengenali isi hati Adam yang sebenarnya seorang yang sensitif. Adam juga
mula berbaik-baik dengan Diandra dan sudi berkongsi masalah dengannya.
Lama-kelamaan, Diandra mula mempunyai perasaan aneh terhadap Adam malah
dia juga mencemburui bekas kekasihnya, Fida yang kembali menagih kasih.
Sejak Fida muncul kembali dalam hidup Adam, Adam seolah-olah melupakan
Diandra. Adam yang terasa diperbodohkan oleh Diandra selepas mengetahui
identiti sebenar Diandra telah bersikap dingin kepadanya. Justeru,
Diandra membuat keputusan untuk menjauhi diri daripada Adam dan bekerja
untuk ayahnya.
Adakah Adam dan Fida akan meneruskan percintaan mereka? Adakah Adam akan
rasa kehilangan Diandra kerana mereka saling memerlukan? Apakah
kemesraan dan perasaan sayang yang wujud antara Adam dan Diandra adalah
cinta? Semuanya bakal terjawab dalam DIANDRA.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri baru, DIANDRA
menerusi slot Lestary di TV3, setiap hari Selasa jam 9.00 malam bermula
20 Ogos 2013. Penonton yang terlepas menyaksikan DIANDRA boleh
menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Layari
www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter, Instagram & Youtube
TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.