Followers

Friday, August 23, 2013

Hukum Sumpah palsu untuk harmoni rumahtangga

Soalan:
SAYA berkahwin dengan seorang lelaki baik tetapi dia selalu bimbang jika saya masih ada menyimpan perasaan cinta pada kekasih lama. Untuk meyakinkannya, dia minta saya bersumpah mengenai hal ini, kemudian saya bersumpah untuk memenuhi permintaannya.
Sebenarnya saya memang pernah jatuh cinta dengan lelaki lain sebelum berkahwin, namun takdir menetapkan saya berkahwin dengan suami saya sekarang ini. Tetapi perasaan cinta masih ada di hati saya selama beberapa tahun selepas saya berkahwin kemudian ia hanyalah menjadi kenangan.
Saya takut kalau-kalau saya berdusta dan saya takut dosa dan dimurkai Allah disebabkan saya bersumpah palsu dengan menyebut nama-Nya. Kalau saya tidak memenuhi permintaannya untuk bersumpah, takut boleh mengeruhkan hubungan rumah tangga.
Puan A,
Kuantan, Pahang.
Jawapan:
SEBENARNYA, asal berdusta itu haram kerana dapat menimbulkan kemudaratan bagi seseorang, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya. Tetapi Islam memberikan jalan keluar daripada ketetapan asal ini kerana sebab khusus dan dalam batas tertentu, seperti diterangkan dalam hadis riwayat Muslim daripada Ummu Kultsum, kata beliau (yang bermaksud): “Saya tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberi rukhsah (keringanan) untuk berdusta kecuali kepada tiga perkara iaitu orang yang mengatakan suatu perkataan (dusta) dalam hal mendamaikan orang berselisih, orang yang mengatakan perkataan (dusta) dalam peperangan, dan orang yang mengatakan sesuatu terhadap isterinya dan isteri terhadap suaminya.”
Demikianlah antara keringanan atau rukhsah pada syariat Islam dan ketinggian hikmahnya. Justeru, tidak dibenarkan orang yang hendak mendamaikan dua orang berselisih menyampaikan semua perkataan satu pihak kepada pihak lain yang dikira akan lebih menyalakan api permusuhan. Tetapi hendaklah ia berusaha meredakannya meskipun dengan sedikit memutarkan perkataan atau menambahkannya, atau menafikan bahawa satu pihak mencaci atau menghina pihak lain.
Tidaklah dikira bijak jika seseorang itu menyampaikan kepada pihak musuh mengenai rahsia pasukannya, atau menunjukkan aib negaranya kepada musuh atau memberitahu mengenai kelemahan urusan dalam negerinya yang semuanya itu disampaikan dengan alasan ‘kejujuran’, bahkan sepatutnya ia wajib menutup semua itu kerana perang itu satu tipu daya.
Tidaklah dikira bijaksana jika seseorang isteri menceritakan secara terus terang kepada suaminya mengenai percintaannya pada masa lalu yang sudah ditelan masa yang boleh membawa kehancuran rumah tangganya dengan alasan kejujuran yang wajib dilakukan. Oleh kerana itu, hadis Nabi SAW itu sangat berhikmah dan tepat, ketika memberikan pengecualian bahawa berdusta antara suami isteri dalam kes tertentu itu tidak haram demi menjaga keutuhan perkahwinan yang suci.
Dalam kes puan, suami puan sudah melakukan dua kesalahan ketika dia meminta isterinya bersumpah seperti disebutkan dalam pertanyaan di atas. Kesalahan pertama adalah mengungkit kisah masa lalu yang sudah tidak relevan dan tidak ada hubungannya lagi dengan rumah tangganya dan membongkar barang yang sudah terpendam. Justeru, tidaklah elok untuk diungkit dan dihidupkan kembali perasaan yang mati ditelan zaman. Cukuplah baginya bahawa isterinya setia kepadanya, memenuhi haknya, dan memelihara rumah tangganya dengan baik dan sempurna.
Kesalahan kedua, sumpah itu tidak dapat menyelesaikan rumah tangganya, sebab jika isteri itu bukan orang yang berpegang teguh dengan agamanya, tidak takut kepada Allah dan tidak takut hisab-Nya, maka tidak perlulah ia bersumpah dengan sumpah yang berat tetapi hakikatnya palsu.
Jika dia seorang yang berpegang teguh dengan agamanya, selalu mengharapkan rahmat Allah SWT dan takut dia mendapat hisab buruk, cukuplah agama dan ketakwaannya itu menenangkan dan memantapkan hati suami kepada si isteri dan menjadikan ia percaya akan amanah dan keikhlasannya.
Desakan suami terus menerus kepada isterinya dibimbangi akan menjadikan isteri bersumpah palsu (berbohong) dan demikian itu si suami akan menanggung dosanya bukan isterinya kerana isteri terdesak atau terpaksa. Saya ingin menegaskan bahawa tidak berdosa bagi isteri bersumpah palsu kerana didesak dan ditekan oleh suami seperti di atas. Perkara yang boleh menyebabkan kerosakan rumah tangga tidak disukai oleh Allah SWT dan diperangi oleh Islam. Justeru sumpah bagi isteri adalah darurat.
Jika lelaki atau wanita masih mabuk cinta dengan kekasih lama dan merinduinya, sedangkan dia sudah mempunyai pasangan, bagaimana dia hendak membina rumah tangga dan melaksanakan tanggungjawabnya. Kesudahannya tidak tercapai maksud pernikahan. Cukuplah suami isteri itu bergaul dengan makruf di bawah naungan agama dan akhlak.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.