15 Julai 2013
KUANTAN - Tiga pengemis kudung dipercayai warga asing menjadikan
kecacatan fizikal mereka sebagai modal menagih simpati dengan meminta
sedekah, di sini.
Ketiga-tiga
mereka yang mengaku berasal dari Thailand sanggup datang mengambil
kesempatan atas kemurahan hati umat Islam negara ini yang gemar
bersedekah sempena mengambil keberkatan kemuliaan Ramadan.
Lebih mengejutkan, ketiga-tiga pengemis terbabit mengaku Muslim, namun
apabila diminta mengucap dua kalimah syahadah ataupun membaca Bismillah,
mereka tidak boleh.
Selepas didesak, barulah mereka mengaku
bahawa mereka bukan beragama Islam, sebaliknya hanya menyamar untuk
menarik simpati umat Islam di sini.
Hasil tinjauan Sinar Harian
di sekitar Pusat Transformasi Bandar (UTC), membongkar kegiatan
pengemis warga asing itu yang cuba menjadikan Ramadan sebagai musim
mereka mencari keuntungan.
Taktik mereka yang sengaja menayang
kaki kudung dan bertongkat sambil membawa bekas kosong ternyata menjadi
apabila ramai yang menghulurkan sedekah.
Ketika didekati,
ketika-tiga mereka cuba mengelak, namun selepas seketika mereka mula
bersuara menjawab segala pertanyaan yang diajukan.
Berdasarkan pengakuan pengemis itu, mereka datang dari Thailand menaiki bas ke sini beberapa hari lalu untuk meminta sedekah.
Ketika diminta menunjukkan wang hasil sedekah orang ramai, ‘pengemis’
berkenaan dengan selamba mengeluarkannya wang dari saku seluar dalam
jumlah agak banyak walaupun hanya beberapa jam mereka di situ.
Mereka mengakui walaupun ‘pendapatan’ yang diperoleh lumayan, namun
sepanjang berada di sini, mereka tidak mempunyai tempat tinggal
sebaliknya tidur bergelandangan di mana-mana tempat yang sesuai.
Selepas beredar, seorang daripada mereka mengeluarkan telefon bimbit menghubungi seseorang.
Seorang pelanggan pasar tani, Mohamad Nawi Ismail, 45, yang ditemui
berkata, kehadiran mereka mungkin untuk mencari rezeki tetapi pihak
berkuasa perlu pantau supaya tidak berlaku penipuan.
“Mereka warga asing, jadi lebih baik berhati-hati supaya tidak berlaku kes sosial lain,” katanya.
Suri rumah, Manarah Zulkifli, 28, pula mencadangkan pihak
bertanggungjawab membuat pemeriksaan ke atas peminta sedekah kerana
ramai yang menganggap mereka sangat memerlukan wang.
“Memang orang kita tidak lokek tapi macam mana kalau mereka datang dengan cara haram, siapa tahu?” katanya.-sn