Mencukur Rambut Bayi Baru Lahir
Agak popular dalam masyarakat kita mengadakan majlis yang diistilahkan sebagai 'cukur jambul' yang menjadi adat turun temurun. Artikel ringkas ini menukilkan beberapa nas dari sunnah untuk melihat adakah amalan cukur jambul ini menepati satu sunnah atau adat sahaja dan bagaimana pandangan Nabi (صلى الله عليه وسلم) mengenai hal ini.
Islam mempunyai cara dalam menguruskan rambut dan ada hukumnya tersendiri yg berkaitan dengannya spt mencukur rambut anak yang baru lahir dan masalah mengqaza‘ rambut.
Mencukur Rambut Anak Baru Lahir
Adalah Sunat mencukur keseluruhan rambut anak (lelaki atau perempuan) yang baru lahir pada hari ke-7 (selepas kelahirannya). Menurut pendapat yang ashah (paling sahih), sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325) Sebagaimana sabda Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) yang maksudnya :
"Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Demikian juga, sunat disedekahkan emas atau perak setelah ditimbang berat rambut yang dicukur itu kepada fakir miskin, sekiranya mampu. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak yg baru lahir tersebut melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan. Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi (صلى الله عليه وسلم) daripada ‘Ali bin Abu Thalib katanya yang bermaksud :
"Rasulullah(صلى الله عليه وسلم) telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor kambing dan Baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (‘Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Qaza‘ (Mencukur sebahagian rambut)
Qaza' (قزع) iaitu mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain adalah dilarang oleh Nabi (صلى الله عليه وسلم). Ia adalah cukuran sama ada di tengah kepala meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya. Hukum melakukan qaza‘ ini adalah makruh. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/363-364)
Larangan melakukan qaza‘ ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA katanya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Rasulullah(صلى الله عليه وسلم) menegah daripada melakukan qaza‘ (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma yang bermaksud :
"Sesungguhnya Nabi (صلى الله عليه وسلم) telah melihat seorang kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)." (Hadis riwayat Abu Daud)
Sesungguhnya pada rambut itu banyak perkara-perkara yang berhubungkait dengan hukum, sama ada perkara yang dilarang atau yang disunatkan. Oleh yang demikian, adalah wajar diketahui perkara-perkara tersebut agar tidak ketinggalan dalam mempertingkatkan amal atau tidak terlanjur pada melakukan kesalahan.
Rujukan: Buku-buku Fiqh