17 SUSPEK KES TEMBAK DAN SAMUN DIBURU
Kuala
Lumpur, 27 Mac - Polis memburu 17 suspek yang dipercayai terlibat dalam
kes menembak mati seorang lelaki di Jalan Ampang pada 21 Mac lepas,
selain kes samun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur,
Datuk Ku Chin Wah berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek
berusia antara 30 dan 40 tahun itu disyaki anggota kumpulan 'Morning
Glory' yang bergiat aktif dalam beberapa kes samun di Brickfields dan
Cheras sejak sekian lama.
"Polis percaya lelaki yang ditembak mati itu juga merupakan salah
seorang anggota kumpulan berkenaan, dan mungkin ditembak oleh rakan
kumpulan itu sendiri akibat pertikaian dan rasa tidak berpuas hati
semasa pembahagian hasil rompakan," katanya pada sidang akhbar di sini
hari ini.
Katanya, bagi kes samun, modus operandi mereka adalah
memasuki rumah mewah antara 4 pagi hingga 7 pagi dengan memakai 'ski
mask' dan sarung tangan sebelum menyamun dan melarikan kereta mewah
mangsa.
Beliau berkata jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1 juta melibatkan 18 kes rompakan yang dilakukan oleh kumpulan itu.
"Mereka (ahli kumpulan) itu tinggal di hotel-hotel mewah di sekitar ibu kota sebelum dan selepas melakukan rompakan," katanya.
Ku berkata, dalam kejadian pada 21 Mac lalu, mangsa ditembak dari jarak
dekat oleh beberapa lelaki dengan melepaskan enam das tembakan, di mana
empat tembakan terkena pada bahagian kepala, leher dan dada.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun.
Ku meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes
berkenaan supaya menghubungi balai polis berdekatan. -BERNAMA