Followers

Sunday, October 30, 2011

Petugas Media Kecewa Dengan Kemudahan Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 30 Okt -- Rata-rata petugas media yang membuat liputan perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam kecewa dan tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM) Faisal Jamal yang ditemui Bernama berkata pihak pengurusan stadium dan jawatankuasa pertandingan FAM sepatutnya mengetahui kehendak yang diperlukan oleh wartawan ketika membuat liputan sukan lebih-lebih lagi membabitkan perlawanan penting seperti perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan pihak FAM semata-mata kerana pihak pengurusan stadium (Stadium Shah Alam) mempunyai badan pengurusan sendiri.

"Mereka (pengurusan stadium) sewajarnya mengetahui keperluan asas yang diperlukan petugas media dalam membuat laporan seperti keperluan Internet dan jalur lebar," katanya kepada Bernama di sini.

Namun, pada masa yang sama beliau memuji tahap keselamatan yang diurus dengan baik dan teratur pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan FAM.

"Di sini, saya dapat lihat keselamatan petugas media lebih terjamin dengan adanya kawalan ketat oleh pihak polis berbanding dengan Stadium Nasional Bukit Jalil yang agak longgar," katanya.

Sementara itu, wartawan akhbar Harian Metro, Aziman Rosdi berkata perkara asas seperti Internet perlu dipastikan dapat berfungsi sebelum perlawanan bermula.

"Banyak kali penganjuran perlawanan akhir di sini... mereka (FAM dan pengurusan stadium) sepatutnya tahu akan perkara ini kerana petugas media mengejar deadline dalam membuat liputan bagi memberi maklumat terkini yang cepat dan tepat kepada orang ramai," katanya.

Seorang blogger sukan, Mohd Aiman Abdullah berkata penganjur perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ini dilihat membuat persiapan tergesa-gesa malah ia dianggap terburuk.

"Perlawanan malam ini adalah kemuncak kepada Piala Malaysia dan ia adalah merupakan perlawanan penting. Masalah seperti tiada kemudahan Internet, tandas tiada air tidak sepatutnya berlaku kerana ia mengambarkan kepincangan pihak pengurusan sendiri yang seolah-olah tidak profesional," katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.