Followers

Monday, December 2, 2013

Norfarhan langgar kontrak

Shah Alam: Baru saja dijulang sebagai penyerang terbaik kebangsaan 2013, kedudukan Norfarhan Mohamad bersama pasukan barunya Terengganu mula terancam apabila pemain berusia 28 tahun itu berdepan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas didakwa melanggar kontrak bersama Johor Darul Takzim I (JDT I).

JDT I membuat aduan secara rasmi kepada FAM kelmarin dengan mendakwa bekas bintang Kelantan itu sudah menandatangani kontrak bersama pasukan Harimau Selatan itu untuk musim depan sebelum membuat ‘Pusingan U’ menyertai pasukan negeri kelahirannya Terengganu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan laporan itu berkata, kes Norfarhan akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status pada 12 Disember ini untuk diputuskan bersama dengan kes bekas pemain JDT I, Nazri Ahmad yang didakwa turut mengubah pendirian pada saat akhir dengan menyertai Kelantan biarpun Selangor mendakwa pemain pertahanan itu sudah menandatangani kontrak bersama mereka.

“Kami baru terima satu lagi kes semalam (kelmarin) daripada Johor (JDT I) sama dengan kes Nazri iaitu kes pemain Norfarhan yang akan dibawa ke Jawatankuasa Status. Setakat hari ini ada dua kes yang akan dibawa ke mesyuarat pada 12 Disember ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Taklimat Liga Malaysia 2014 semalam.

Norfarhan dinobat sebagai penyerang terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kelmarin namun nasibnya untuk beraksi dengan Terengganu musim depan mula samar kerana jika didapati bersalah, pemain kebangsaan itu boleh dikenakan hukuman penggantungan.

Hamidin dengan jelas memberitahu sepatutnya semua pemain profesional bijak dalam urusan kontrak dengan mana-mana pasukan.
Foto
NORFARHAN (kiri) langgar kontrak bersama JDT I.

“Ini perkara umum, tak perlu belajar dekat sekolah pun. Pemain kena tahu bila sudah menandatangani kontrak mereka perlu patuh. Kami sudah maklumkan kepada persatuan negeri dan kelab mengenai perkara ini tapi bagi saya ini satu fenomena baru. Ia pernah terjadi 10-15 tahun lalu apabila ada pemain bersetuju secara lisan namun kemudian bermain dengan pasukan lain.

“Kali ini lain, mereka sudah menandatangani borang kontrak tapi tak mengaku dan pergi ke pasukan lain. Tapi dua kes ini belum ada keputusan kerana Jawatankuasa Status akan dapatkan semua maklumat daripada pasukan dan pemain itu dan juga salinan kontrak,” katanya. Bagaimanapun beliau berkata, FAM menasihatkan pasukan terbabit cuba menyelesaikan masalah itu ‘di luar’ terlebih dulu.
“Kami beri peluang kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaian bersama dan jika ia tidak dapat diselesaikan, kami akan bawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status pada 12 Disember ini,” jelas Hamidin.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.