Anjing pengesan dari Unit K9 turut digunakan dalam siasatan awal polis.
MALIM - Gara-gara berebut teman wanita, dua lelaki bergaduh sebelum salah seorang daripada mereka mati ditikam di dada, di dalam rumah kedai di Jalan Berkat 15, Malim Jaya, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.20 malam, mangsa warga Vietnam, Ang Prung Dung, 26, ditikam rakan senegaranya menggunakan pisau ketika bergaduh dalam satu jamuan makan malam di sebuah rumah rakan mereka, di tingkat dua bangunan rumah kedai itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mangsa yang cedera parah di dada kiri bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Melaka, kira-kira jam 11.30 malam.
“Ketika jamuan tersebut, mereka dipercayai bergaduh membabitkan seorang wanita sebelum suspek keluar dari rumah tersebut dan datang semula bersama sebilah pisau, lalu bertindak menikam dada kiri mangsa.
“Pemeriksaan awal, kami hanya menemui sarung pisau sepanjang tiga inci dipercayai senjata digunakan suspek dan kertas pembalut pisau di dalam rumah didiami lima rakan mereka yang juga warga Vietnam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.
Salehhudin berkata, berikutan itu, pihaknya kini memburu suspek berusia 26 tahun yang merupakan seorang pekerja kilang di kawasan berhampiran, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, seorang saksi warga Bangladesh yang dikenali sebagai Shasalan, 38, berkata, dia didatangi jirannya sambil menjerit meminta bantuan supaya segera menghubungi polis.
“Sebelum itu, ada seorang lelaki turun dari rumah itu dan saya nampak dia selitkan pisau di belakang pinggang, namun saya tidak mengesyaki apa-apa.
“Tak lama lepas itu saya nampak jiran saya dengan beberapa warga Vietnam termasuk teman wanita mangsa turun membawa mangsa yang berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.
Menurutnya, seorang rakan mangsa cuba menahan teksi, namun pemandunya enggan menghantar mangsa ke hospital, sebelum pemandu sebuah kereta sewa membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.