Followers

Thursday, December 5, 2013

Mahathir pertimbang saranan Najib kekal di Petronas

 
















Tun Dr Mahathir Mohamad berkata (gambar), beliau akan memikirkan kembali saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mohamad Najib Razak supaya beliau kembali menjadi penasihat syarikat minyak negara, Petronas.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau meletak jawatan sebagai penasihat kepada Petronas berikutan saranan dan nasihat doktornya supaya beliau berehat.

"Saya fikir dulu, saya fikir dulu," katanya ketika ditanya berkenaan saranan Najib yang juga Presiden Umno yang meminta beliau mempertimbangkan semula peletakan jawatan tersebut.

 Pasal Petronas, saya sudah keluar. Doktor suruh saya mengurangkan aktiviti sikit," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Najib sebelum ini berharap Dr Mahathir akan memikirkan semula keputusan beliau untuk melepaskan jawatan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan berpendapat amat wajar dan sesuai untuk bekas perdana menteri itu terus berkhidmat kerana beliau mampu untuk terus memberi sumbangan kepada pembangunan dan kejayaan Petronas.

"Dalam saya menghormati keputusan yang dibuat Tun atas nasihat doktor, saya berharap Tun dapat fikir semula atas keputusan yang dibuat itu.

"Kerajaan mengalu-alukan Tun untuk terus berkhidmat sebagai Penasihat Petronas," katanya.

Najib berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan daripada Dr Mahathir yang turut mengandungi ucapan terima kasihnya di atas kesudian Najib menziarahinya ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini akibat jangkitan dada.

"Kerana nasihat doktor beliau terpaksa mengurangkan penglibatan beliau dalam tugas seharian, oleh itu, beliau memaklumkan kepada saya hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Penasihat Petronas," katanya.

Dr Mahathir mengesahkan beliau melepaskan jawatannya itu berkuatkuasa 1 Disember kerana faktor usia serta ingin menumpukan perhatian kepada kesihatannya.

Beliau dilantik sebagai penasihat Petronas susulan persaraannya sebagai perdana menteri pada 2003. – 5 Disember, 2013.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.