Followers

Thursday, November 21, 2013

Tiada Kompromi Di Minggu Kedua MLM 2013 – Datuk Yusof Haslam


Kemunculan pengarah dan produser terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam sebagai juri tetap MLM 2013 nyata mengejutkan ramai pihak. Dengan perwatakan yang serius dan komen yang lebih teliti nyata membuat 15 kumpulan lebih berhati-hati ketika melakukan persembahan di gelanggang MLM 2013.

Tanpa berselindung Datuk Yusof Haslam menganggap gelanggang MLM 2013 adalah sebuah pentas sebenar untuk dia melihat kemampuan para pelawak yang sudah ternama mahupun yang baru membuktikan idea dan subjek yang cuba dipersembahkan perlu lebih berkualiti dan diterima para penonton.

“Saya seorang yang serius tetapi tidak bermakna saya tidak boleh terima lawak jenaka dari seseorang. Oleh sebab itu saya sudi terima jemputan untuk menjadi salah seorang juri tetap di Maharaja Lawak Mega 2013. 

“Apa yang saya dapat lihat di minggu pertama masih banyak perlu diperbaiki. Dari segi subjek yang cuba  dipersembahkan oleh para pelawak rasanya tiada masalah cuma saya harap minggu kedua mereka lebih bersungguh-sungguh dan keluarkan idea-idea yang lebih menarik.

“Minggu pertama saya masih boleh beri tiga atau empat bintang kepada setiap kumpulan tetapi minggu-minggu seterusnya tiada kompromi buat kumpulan yang tidak beraksi dengan baik dan kami pihak juri terpaksa singkirkan mereka,” jelas Datuk Yusof Haslam tegas.

Dalam pada itu, Datuk Yusof Haslam tidak menolak kelebihan banyak berpihak pada kumpulan seperti Sepahtu, Shiro, Jambu dan peserta solo Nabil adalah kerana mereka sudah mempunyai peminat yang tersendiri berbanding kumpulan-kumpulan lain.

“Saya dapat lihat setiap kali kumpulan-kumpulan seperti ini muncul di atas pentas, peminat mula bertepuk sorak tanpa perlu berbuat apa-apa. Ini satu kelebihan buat mereka dan perlu digunakan dengan sebaik yang mungkin.

“Tapi apa pun mereka tidak boleh ambil mudah kerana saya lihat kumpulan lain cukup hebat juga. Apa-apa pun boleh terjadi jika mereka sambil lewa atau leka,” tambah Datuk Yusof Haslam.
Comments
1 Comments

1 comments:

Aku pengembara said... [Reply]

Zero favourite saya.. Wkaka :D

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.