Keadaan lalat yang menghurungi bekas gerai makan peniaga berkenaan. Gambar kecil, Norazmi.
Menurutnya, dipercayai kehadiran lalat terlampau banyak itu berpunca daripada sebuah ladang ternakan ayam terletak kira-kira dua kilometer sahaja daripada taman terbabit.
“Perniagaan saya terjejas teruk. Setiap bulan, saya rugi RM1,500 berikutan kebanyakan pelanggan dari luar kawasan ini terutama yang pertama kali datang, enggan makan di kedai saya kerana tidak tahan gangguan lalat.
“Saya juga perlu membelanjakan RM10.80 sehari bagi membeli tiga puluh keping pelekat khas untuk memerangkap lalat,” katanya yang berniaga di situ sejak penghujung 2011 dan bergantung sepenuhnya kepada pelanggan tempatan yang nyata sudah lali dengan situasi berkenaan.
Menceritakan lebih lanjut masalah dialami, Norazmi berkata, lalat paling banyak didapati sekitar jam 4 hingga 6 petang pada setiap hari.
Namun, jumlahnya semakin berkurangan menjelang malam.Pada masa sama, kata Norazmi, selain dirinya, penduduk sekitar turut berdepan kesukaran akibat serangan lalat.
“Kesemua tingkap terpaksa ditutup dengan jaring, manakala pintu pula tidak boleh dibiarkan terbuka. Jika ada makanan yang terdedah, tidak sampai dua jam akan dipenuhi lalat.
“Penduduk juga runsing setiap kali mengadakan majlis atau kenduri sehingga memaksa di antara mereka mendapatkan khidmat dukun lalat sejauh dari Rembau, semata-mata tidak mahu tetamu yang hadir diganggu mahkluk perosak terbabit,” katanya.
Malah, katanya, pernah satu ketika, salah seorang penduduk taman itu yang bekerja sebagai guru menyatakan hasrat ingin menjual rumah diduduki kepadanya lantaran sudah muak dengan keadaan sedemikian," katanya yang berharap pihak berkaitan melakukan tindakan sewajarnya.