Followers

Wednesday, November 6, 2013

Mangsa Perbuatan Gila Pelajar 17 Tahun!



Inilah Nasib Adik Asyraf....Mangsa Perbuatan Gila Pelajar 17 Tahun!

INILAH nasib yang menimpa adik Muhammad Ashraf Ikhwan, berusia sembilan bulan yang kini terlantar di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Adik Muhamaad Ashraf koma setelah tercampak bila kereta keluarganya terlibat dalam kemalangan setelah dilarikan seorang pelajar 17 tahun semalam. 
Dua yang lain iaitu Abdul Pirhat Karim, 34, dan ibu Ashraf, Che Mastura Che Awang, 31, turut cedera dalam kemalangan itu.
Remaja lelaki berkenaan melarikan dua kereta bersama anggota keluarga mereka dalam dua kejadian di Dungun semalam.
Kejadian pertama bermula kira-kira 5 petang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, kejadian bermula apabila remaja berusia 17 tahun itu melarikan sebuah kereta Nissan Grand Livina yang berhenti di kawasan R&R itu bersama sepasang suami isteri dan bayi mereka di dalam kenderaan itu.
“Kenderaan itu berhenti di kawasan berkenaan dan pemandu kereta itu bersama isteri, kedua-duanya anggota polis dari Brickfields, ke tandas meninggalkan abang dan kakak ipar mereka bersama bayi itu di dalam kereta.
“Keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarah keluarga di Tumpat, Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bayi itu hari ini.
Beliau berkata, ketika remaja terbabit memandu kereta itu menghala ke Dungun, berlaku pergelutan antara remaja itu dan Abdul Pirhat menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan merempuh sebuah Proton Waja dan sebuah lori tanah dari arah yang sama.
Rempuhan itu menyebabkan penumpang kereta berkenaan dan bayi mereka tercampak keluar daripada kenderaan itu, katanya sambil memberitahu yang remaja terbabit sebelum itu cuba melarikan sebuah Proton Persona di R&R yang sama tetapi gagal.
Jamshah berkata, selepas kemalangan di Km88 Jalan Jerangau-Jabor itu, remaja terbabit menahan kereta Perodua Myvi yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan berpura-pura meminta pertolongan.
“Apabila wanita berusia 18 tahun yang memandu kereta itu dan ayahnya berusia 55 tahun keluar daripada kereta, remaja terbabit dengan pantas masuk ke dalam
kereta dan melarikan kereta itu bersama ibu, adik dan dua anak saudara wanita itu,” katanya.
Beliau berkata, pemandu dan dua penumpang kereta Proton Waja serta pemandu lori yang dirempuh remaja itu tidak cedera.
Drama dua jam itu berakhir apabila polis, yang melancarkan gerakan memburu remaja terbabit berjaya menahannya bersama kereta Myvi yang dilarikan dengan empat penumpang di dalamnya dalam sekatan jalan raya di Batu Rakit dekat sini, kira-kira 7 malam.
Jamshah berkata, siasatan awal polis mendapati remaja lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
Remaja yang telah berhenti sekolah semasa dalam tingkatan dua itu berasal dari Kemaman, katanya sambil memberitahu bahawa suspek dipercayai bukan mahu merompak, sebaliknya hanya melarikan kenderaan.
Beliau berkata, polis masih menyiasat latar belakang suspek dan remaja yang dipercayai mengalami masalah mental itu akan dirujuk kepada pakar perubatan.
Comments
1 Comments

1 comments:

Sabrina SA said... [Reply]

Ya allah . Kesiannya..

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.