Sumber ohartis.com
Pelakon kacak Fizo Omar telahpun selamat bergelar suami kepada anak pengasas tudung Fareeda iaitu Mawar Abdul Karim, 24, dalam satu majlis ijabkabul Ahad lalu. Pasti ramai yang teruja apabila memasuki fasa baru dalam kehidupan begitu juga Fizo.
Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, perkara pertama yang dilakukan selepas bergelar suami adalah berbincang tentang tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam menlayari bahtera perkahwinan. Itu juga peluang yang untuk mereka mengenali dan mendapat keserasian memandangkan mereka tidak pernah bercinta.
“Perkara pertama ialah kami duduk berbincang tentang peranan masing-masing, Mawar tiada abang jadi saya sebagai suami dan abang buatnya perlu duduk berbincang dalam banyak hal sebelum sesuatu perkara itu dipersetujui.“Lagi pula masa ini adalah proses kami untuk mencari keserasian dan mengenali hati budi masing-masing.“Kehidupan yang sangat berbeza yang mana saya rasa lebih tenang sekarang sebagai suami. Secara jujurnya saya bahagia dan teruja untuk melayari kehidupan mendatang sebagai sebuah keluarga,” ujarnya.
Fizo juga memberitahu bahawa mereka akan berpindah ke rumah baru dibelinya di Country Height, Kajang berdekatan dengan kediaman keluarga Mawar. Malah dia juga turut membawa bersama ibu dan adik perempuannya untuk tinggal bersama.
“Rumah dah siap dan kami akan pindah dalam masa terdekat ke rumah baru. Buat masa sekarang kami masih tinggal secara bergilir-gilir di rumah ibu mertua masing-masing.“Ibu dan adik akan tinggal bersama saya kerana mereka adalah tanggungjawab saya sampai mati,” katanya.
Sementara itu, Fizo berkata dia dan isteri akan berbulan madu ke Eropah pada Disember ini selama tiga minggu. Mereka akan menjelajah ke beberapa buah negara di benua itu seperti London, Paris, Itali dan Belanda.