Followers

Saturday, October 12, 2013

Wanita Mati, Tiga Anak Alami Cedera Ringan

Wanita maut, tiga anak alami cedera ringan 
Kereta dinaiki mangsa terbabas dan terbalik dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

KUALA KRAI – Seorang wanita maut, sementara suami, tiga anak dan adik perempuannya cedera ringan, ketika dalam perjalanan pulang daripada Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Krai, tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kampung Batu Balai, di sini.

Mangsa, Nik Rohana Nik Hasan, 26, yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu, maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di bahagian dada.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Batu Balai ke RPT Sungai Pas selepas membawa anak lelakinya, Mohd Fariz Haikal, 6, untuk memperdengarkan bacaan ayat suci pada majlis berkenaan.

Sebaik selesai, mangsa sekeluarga terus pulang.

Mangsa yang cedera ringan ialah Azman Yazid, 35, tiga anak mereka iaitu Mohd Fariz Haikal, 6; Mohd Adam Fikri, 4; Nur Fatin Aida, 2; dan adik mangsa, Nik Rariqah Nik Hasan, 20.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga, petang semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Nuraddin Wahab berkata, hasil siasatan awal polis dipercayai kereta dipandu Azman gagal dikawal ketika melalui kawasan selekoh.

Menurutnya, berikutan itu, kenderaan terbabit terbabas dan masuk ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

“Kereta terbalik menyebabkan penumpang hadapan tersepit dalam kenderaan dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Nuraddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.