Sinopsis Filem Tanda Putera :-
Filem Tanda Putera ini mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana
Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tun Dr Ismail yang
terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi
memulihkan keadaan Negara ekoran daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia tentang penyakit leukemia yang
dihidapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan dan bimbangkan
keselamatan Negara. Mereka berdua berkongsi doktor. Bilik bacaan di
rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatan mereka oleh Dr
Macpherson, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga Tun Dr
Ismail sendiri.
Mereka memiliki aura yang kuat. Kecekalan dan keazaman mereka telah
menangkap imaginasi pelajar seperti Zarah, tenaga pengajar Kara, dan
anak muda Zaman. Razak dan Ismail mencorakkan warna hidup warga muda
seperti pelajar dan tenaga pengajar di institusi pendidikan tinggi
ketika itu serta mereka yang bertugas di pejabat.
Apabila mengetahui penyakitnya akan membawa maut dalam masa dua tahun,
Tun Razak bersyukur yang rakan baiknya Tun Dr Ismail, orang
kepercayaannya dan seorang yang terkenal jujur dan berintegriti, akan
dapat meneruskan rancangan mereka bagi pembangunan negara. Razak juga
yakin Ismail akan mengotakan janji untuk menjaga keluarganya nanti.
Tetapi apabila terjadi perkara yang tidak disangka-sangka, Tun Razak
mendapat kejutan besar yang hampir memudaratkan lagi kesihatannya.
Dia mula mengejar masa untuk melaksanakan berbagai-bagai perancangan
bagi menjamin kestabilan serta masa depan Negara. Dia terpaksa
menghadapi berbagai ancaman daripada pihak komunis yang mensasarkan
pembunuhan pemimpin tinggi Polis. Bermula dengan pembunuhan Ketua Polis
Negara diikuti pembunuhan Ketua Polis Perak, keadaan makin meruncing.
Razak mengambil langkah berani – membina hubungan diplomatik dengan
Republik China bagi melemahkan pengaruh komunis tempatan walau dia
dikecam kuasa barat dan negara sekutu. Dalam waktu yang singkat, Razak
membawa rakyat miskin seperti keluarga Zarah dan Zaman, keluar dari
perangkap kemiskinan tegar. Razak telah menanam semangat baru dalam diri
Zaman, Zarah dan rakan-rakan mereka.
Namun perjuangan Razak berakhir disebuah klinik di London ketika
rakan-rakannya di Malaysia berusaha memenuhi permintaannya untuk
berjumpa anak bongsunya Nazir buat kali terakhir dan rakyat mengejar
masa untuk menyediakan klinik udara bagi membawanya pulang ketanah air
tercinta.