Followers

Friday, October 25, 2013

Terkejut jumpa sampul berpeluru, nota ugutan

Terkejut jumpa sampul berpeluru, nota ugutan 
Dua butir peluru jenis 9 mm THAI ARMS yang dijumpai di rumah yang didiami suspek di Solok York ketika serbuan, petang semalam.

GEORGETOWN - Seorang pekerja di sebuah kedai menjual jeruk terkedu selepas menjumpai sampul surat yang mengandungi sebutir peluru di hadapan kedai tempatnya bekerja.
Menurut sumber, pekerja berkenaan, Che Dan Mohd Shariff, 61, menjumpai sampul surat berwarna putih itu di hadapan kedai menjual jeruk yang terletak di Jalan Penang ketika sedang membuka pintu premis berkenaan untuk menjalankan perniagaan.

Difahamkan, mangsa menjumpai sampul surat itu kira-kira jam 8 pagi, semalam.

“Pada mulanya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa ketika menjumpai sampul surat berkenaan dan menyangka ia ditinggalkan orang awam yang lalu lalang di hadapan premis itu. Bagaimanapun, setelah memegang sampul surat berkenaan, mangsa berasa tidak sedap hati apabila ada benda keras dalam sampul itu.

“Setelah memberanikan diri, mangsa membuka sampul surat itu dan mendapati kandungannya adalah sebutir peluru jenis SME 38 SPL bersama sekeping nota yang meminta wang sebanyak RM20,000,” katanya.

Sumber berkata, selain meminta wang, suspek turut mengugut  mangsa tidak membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan selain turut meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi serta menulis 04 di akhir nota itu.

“Dengan apa yang ditulis, dipercayai nota berkenaan dikirimkan ahli kongsi gelap yang bertujuan untuk mengugut pemilik kedai jeruk berkenaan.

“Mangsa yang dalam ketakutan kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada majikannya. Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku, pemilik kedai itu membuat laporan di Balai Polis Central, semalam,” katanya.

Difahamkan, dari keterangan pemilik kedai itu, dia yang berasal dari Batu Uban tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana pihak sejak membuka perniagaannya itu pada 2009.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki ditahan ketika serbuan dibuat di sebuah rumah di Solok York, di sini, petang semalam.

Suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan setelah polis mendapat maklumat rumah yang didiaminya menyimpan senjata api.

Ketika diserbu, suspek berada seorang diri di rumah berkenaan dan tidak melawan ketika polis menahannya.

Menurut sumber, polis menjumpai dua butir peluru jenis 9 mm THAI ARMS setelah menggeledah rumah suspek.

“Bagaimanapun, tiada senjata api ditemui dalam serbuan itu. Hasil semakan, suspek yang tidak bekerja itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk samun dan kesalahan dadah.

“Suspek juga pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat pada tahun 1992. Suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.