Followers

Tuesday, October 15, 2013

Polis tertembak kanak-kanak 10 tahun

IPOH – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun mengalami kecederaan parah dipercayai terkena tembakan.
 
Tembakan dipercayai dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang anggota polis ketika sedang mengosongkan senjata dalam kejadian yang berlaku di Kampung Belanja Kiri, Parit, petang semalam.
 
polis logo3
 
Mangsa, Mohd Amar Mohd Azizi, dipercayai berada dalam jarak antara 30 ke 40 meter dari rumah anggota polis yang berpangkat Sarjan itu, dalam kejadian yang berlaku jam 4.30 petang.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Leong Ah Kow berkata, lebih kurang 45 minit selepas bunyi tembakan itu, orang awam yang berada di kawasan berhampiran menemui mangsa cedera di bahagian kepala dipercayai akibat terkena peluru sesat tersebut.
 
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Parit untuk mendapatkan rawatan namun terpaksa dipindahkan ke Hospital Batu Gajah apabila mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah serius.
 
“Bagaimanapun, selepas ujian imbasan x-ray dijalankan, doktor menemui anak peluru sudah masuk ke dalam kerongkong mangsa.
 
“Berikutan itu, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menjalani pembedahan bagi membuang peluru berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Katanya, sejurus menerima laporan mengenai kejadian tersebut, pihaknya telah memeriksa rumah anggota polis terbabit dan merampas sepucuk pistol jenis P99 dan satu magazine berisi 14 butir peluru termasuk kelongsong peluru.
 
“Berdasarkan siasatan awal ke atas suspek, senjata tersebut dibekalkan secara mingguan kepadanya,” katanya.
 
Ah Kow berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dengan mengambil keterangan daripada suspek dan ahli keluarga mangsa.
 
Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 atas kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam.
 
“Jika sabit kesalahan suspek boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
 
Menurut Ah Kow, suspek sedang bercuti dari 12-18 Oktober dan pihak polis akan mengambil tindakan tatatertib ke atas suspek.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.