Followers

Tuesday, October 1, 2013

Perangkap Paku Khas Untuk Pencuri

Perangkap paku khas menjadi  
Wagimin menunjukkan paku khas yang digunakan sebagai perangkap pencuri lembu di ladang ternakannya di Kampung Parit Lancang, Benut.


PONTIAN - Pengalaman kehilangan sebanyak 21 lembu fidlot Februari lalu, membuatkan pemilik ladang penternakan lembu lebih berhati-hati.

Pemiliknya, Wagimin Hamzah, 46, sanggup menempah paku khas sebagai perangkap di laluan masuk ladangnya.

Selain itu, dia dan isterinya, Salmiah Supian, 40, secara bergilir-gilir mengawal ladang ternakan di Kampung Parit Lanchang.

Dalam kejadian malam kelmarin, perangkap paku yang dipasangnya mengena sehingga menyebabkan empat penjenayah yang cuba melarikan lembunya gagal, selepas tayar lori digunakan pancit.

Menceritakan kejadian itu, Wagimin berkata, dia menyedari sebuah lori dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam kampung kira-kira jam 1 pagi.

“Rumah saya terletak kira-kira 800 meter dari ladang ternakan dan  hanya jalan kampung sahaja boleh digunakan untuk ke sana.

“Saya terus mengekori lori tersebut yang menuju ke dalam kebun sawit, seterusnya ke kawasan ladang ternakan,” katanya.

Dia kemudiannya menghubungi penduduk kampung untuk meminta bantuan, namun pencuri tersebut beredar segera dari kawasan itu selepas terkena perangkap yang dipasang.

“Rasanya mereka telah merancang terlebih dahulu untuk mencuri lembu-lembu di sini.

“Ini kerana, ketika saya mengintai dari kawasan semak, saya lihat lembu-lembu itu sudah dikeluarkan dari kandang. Saya percaya pencuri lebih awal mengeluarkannya terlebih dulu sebelum lori tiba,” katanya.

Dia kemudiannya mengekori lori tersebut yang ditarik sebuah pacuan empat roda, sehingga ke Sedenak, Kulaijaya sebelum anggota polis tiba.

Menurutnya, dia tidak sanggup menanggung kerugian, lebnih-lebih lagi  dalam tempoh 20 tahun menjadi penternak, sudah banyak kali lembunya dicuri.

“Lembu fidlot yang sudah matang paling banyak dicuri kerana harganya lebih mahal iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 seekor,” katanya.

Sejak setahun lepas katanya, kegiatan curi lembu semakin parah kerana pencuri dilihat lebih berani membawa lori ke kawasan ternakan pada sebelah malam.

“Jika sebelum ini, mungkin hanya seekor dua sahaja hilang, tetapi sekarang, bilangan makin meningkat sehingga berpuluh-puluh ekor.

Katanya, dia dan isteri akan berkawal secara bergilir-gilir pada waktu malam lebih-lebih lagi ketika Hari Raya Aidiladha hampir tiba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, kebijaksanaan pemilik ladang itu dengan meletakkan paku khas sebagai perangkap akhirnya membuahkan hasil.

“Melihat keadaan tayar lori yang pancit, suspek akhirnya berputus asa walaupun pada awalnya  berusaha membawa keluar lori berkenaan dengan bantuan pacuan empat roda yang menunggu di hadapan kampung.

“Lori tersebut ditarik sejauh kira-kira 15 kilometer sebelum ditahan anggota polis daripada Balai Polis Ayer Bemban, Kulaijaya di kawasan tol Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Sedenak.

“Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 46 tahun itu ditahan reman selama empat hari di Pontian dan disiasat mengikut 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri,” katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.