Maya Karin
Selepas kegagalan rumah tangganya bersama Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose pada tahun 2010, nampaknya pelakon jelita, Maya Karin Roelcke, 33, tidak serik untuk menjalinkan hubungan serius dengan jejaka kulit putih.
Maya yang kini sudah tidak berselindung mengenai hubungan cintanya, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai 'mat saleh' yang sedang bertakhta di hatinya itu.
"Biarlah saya merahsiakannya dulu. Sebenarnya, saya tidak memilih mana-mana lelaki. Namun, mungkin sudah ditakdirkan untuk bertemu semula dengan lelaki berkulit putih," katanya yang tidak meletakan sebarang syarat, melainkan jejaka itu harus menyayangi dan memahaminya.
Pelakon yang popular dengan watak Izzah menerusi filem ombak rindu ini juga, tidak mahu lagi memberikan publisiti meluas tentang hubungan cintanya.
Katanya, cukuplah sekadar dia memberitahu media bahawa dia kini masih menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki kulit putih yang juga merupakan orang dalam industri hiburan.
Biarpun mengakui sedang mengenali hati budi lelaki tersebut, Maya menjelaskan hubungan itu masih lagi di peringkat awal.
“Setakat ini hubungan kami berjalan lancar dan dia sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya saya.
“Saya sudah kenal lama dengan dia, tetapi hubungan ini masih pada peringkat awal. Biarlah hubungan ini berkembang dengan baik dan doakanlah yang terbaik buat saya,” kata Maya yang mengakui sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.
Namun, apabila ditanya mengenai bilakah dia akan menamatkan status solonya, Maya menegaskan ia akan tiba masanya.
“Kita tunggu saja. Insya-ALLAH, jika ada jodoh, saya akan menghebahkannya kepada media,” katanya.
Bakal ke Sepanyol
Walaupun kini sedang sibuk dengan pengacaraan dan bisnes korporat, namun Maya, mengakui masih boleh membahagikan masa bersama kekasih serta keluarganya.
Malah aktres yang pernah popular menerusi filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ ini berkata, dia cuba memenuhi hobi lapangnya dengan bercuti bersama keluarga di luar negara. Dan yang terbaru, dia mungkin akan melancong di Sepanyol.
Katanya, walaupun sudah berpunya, namun ia tidak membataskan kemesraan dengan keluarga memandangkan dia sangat menjaga hubungan tersebut dan mementingkan ruang bersama keluarga.
“Sibuk macam mana sekalipun, saya tetap membahagikan masa bersama keluarga. Begitu juga dengan kekasih. Tapi belum pernah lagi saya keluar melancong bersama kekasih,” katanya yang berharap hubungannya dengan jejaka Inggeris itu akan ke arah lebih baik memandangkan dia sudah beberapa kali dikecewakan sebelum ini.
Lepas gian selepas 12 tahun
Mengulas mengenai kerjaya seninya, pelakon ini berkata, dia kini sedang sibuk menjalani latihan teater muzikal ‘Supermokh’ arahan Hans Isacc yang diterimanya. Menerusi teater itu, Maya melakonkan watak Tengku Zarina, isteri kepada legenda bola sepak terkenal negara, iaitu, Allahyarham, Datuk Mokhtar Dahari
Maya berkata, ia adalah satu lagi karakter mencabar selepas membintangi teater terakhir sejak 12 tahun lalu.
“Saya harus menjiwai watak Tengku Zarina. Selepas bertemu sendiri dengannya saya mengkaji karakter Tengku Zarina. Dia adalah wanita yang cukup kuat dan juga romantik.
“Memandangkan ini bukan filem atau dokumentari, maka saya kena bekerja lebih keras untuk memastikan saya benar-benar berjaya membawa watak itu.
“Namun berlakon dan menyanyi dalam satu masa, bukanlah asing untuk saya. Dengan membintangi muzikal ini, sekurang-kurangnya saya dapat melepaskan 'gian' untuk berlakon di pentas teater," katanya yang ditemui selepas melancarkan kempen
Ekstravaganza Petronas bersama selebriti.
Masih bergelar penyanyi
Bercerita mengenai perkembangan single terbarunya, Maya berkata, walaupun ‘single’ itu masih belum popular, namun ia dapat menjangka selepas selesai pembikinan muzik video dan promosi yang dirancang oleh Warner Music ‘single’ berjudul Bintang Syurga ciptaan Audi Mok dan Omar K itu bakal diterima peminat.
Menurutnya, lagu itu juga akan dimuatkan dalam albumnya bersama syarikat rakaman itu yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, Maya berkata, dia kini sibuk belajar mendalami dan menambah ideanya dalam bidang perniagaan.
“Saya ada perancangan untuk terlibat dalam bidang perniagaan, namun saya masih tercari-cari apakah peluang perniagaan yang menjamin saya sebagai pelaburan di masa hadapan.
“Saya masih masih belajar untuk ceburi dunia perniagaan,” kata pelakon yang pernah memenangi anugerah aktres terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008.