Kabin Vios baharu disemak semula sepenuhnya.
APABILA pengeluar Toyota memperkenalkan model Vios, matlamatnya adalah untuk menawarkan sedan yang lebih murah di pasaran membangun di mana harga adalah pertimbangan utama.
Kehadiran generasi pertama di pasaran negara pada 2003 oleh UMW Toyota Motor (UMW Toyota) menjadikan model itu dengan cepat menjadi kereta bukan nasional terlaris dalam segmen-B. Sehingga kini UMW Toyota merekodkan jualan 265,000 unit Vios.
Walaupun model ini kekal sebagai pilihan pertama mereka yang ingin memiliki sedan kompak Jepun, UMW Toyota juga menyedari bahawa dengan penyertaan baru yang berterusan dan peningkatan model lain dalam kelas yang sama, Vios perlu dikemas kini untuk kekal di atas senarai.
Pengeluar Jepun itu begitu aktif memperbaharui model ini bermula dengan kemunculan generasi kedua pada 2007 diikuti pengenalan varian J (2008), TRD (2009) dan versi peningkatan pada 2010/2011.
Dan kini generasi ketiga Vios 2013 akhirnya hadir ke pasaran Malaysia. Dilancarkan semalam, (dengan 8000 pelanggan sudah menunggu) generasi ketiga Vios itu dibangunkan dengan konsep Value Beyond Belief dan meneruskan ciri-ciri popularnya iaitu kecekapan bahan bakar, kos selenggara yang rendah dan juga bernilai untuk wang.
Walaupun Malaysia agak lewat membawa masuk Vios 2013 berbanding negara Asean lain tetapi mereka punya alasan tersendiri.
Menurut Presiden UMW Motor, Datuk Ismet Suki banyak perkara perlu diambil kira daripada segi peralatan, mesin dan masa untuk mengeluarkan versi pemasangan tempatan (CKD).
"Kerana itulah Vios lewat dilancarkan berbanding Thailand dan Indonesia.
"Penggunaan bahan tempatan bagi versi kali ini juga dipertingkatkan kepada hampir 50 peratus," katanya.
Vios 2013 menerima kemas kini daripada segi luaran dan kabin. Tiada perubahan dilakukan pada bahagian powertrain.
Masih menggunakan enjin yang sama, ia menghasilkan kuasa 109 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,200 rpm.
Menurut Timbalan Ketua Kejuruteraan Toyota Motor Corporation, Takatomo Suzuki walaupun mengekalkan enjin terdahulu tetapi perisiannya ditingkatkan untuk memberi penukaran gear lebih lancar.
“Berat enjin dikurangkan dengan bentuk aerodinamik sekali gus memberi penjimatan minyak sehingga lima peratus berbanding generasi kedua.
“Selain itu, beberapa pembaharuan ditingkatkan terhadap Toyota Vios membabitkan suspensi yang lebih selesa serta dipadankan ciri keselamatan mengikut spesifikasi Eropah,” katanya ketika sesi pandu uji media di Putrajaya sehari sebelum pelancaran.
Ketika sesi pandu uji berkenaan juga saya merasakan suspensi Vios baharu memberikan keselesaan di tahap maksimum. Ketika melalui jalan beralun, Vios menyerap hentakan dengan sempurna tanpa terasa lantunan di dalam kabin.
Luaran dikemas kini sepenuhnya
Sementara penampilan hadapan Vios juga lebih dinamik menerusi penggunaan jeriji berbentuk trapezoidal bersama aksen krom.
Perumah lampu hadapan pula tampak tajam sehingga membuatkan ia kelihatan unik. Bahagian belakangnya turut diperbaharui dengan rekaan lampu sedikit besar yang bersambung dengan bampar.
Toyota juga tidak terlepas pandang bahagian bumbung Vios. Bumbung Vios hadir dengan rekaan konsep Catamaran bagi mengurangkan daya seretan dan aerodinamik.
Untuk keselesaan, model baharu ini lebih panjang 110 milimeter (mm) dan tinggi 15mm berbanding generasi sebelumnya. Walaupun jarak roda masih kekal sama, Vios 2013 meningkatkan ruang bahu, kepala dan paha untuk keselesaan penumpang. Ruang kaki bagi penumpang belakang telah ditingkatkan 75mm sementara ruang lutut lebih selesa dengan penambahan 44mm.
Melengkapkan perubahan tersebut, Toyota juga turut mengalihkan tiang A ke hadapan dan tiang C ke belakang.
Beralih ke bahagian dalam, Vios turut mereka semula kabin untuk memberikan sentuhan mewah dan menarik kepada pengguna mengatasi kelasnya. Perkara pertama yang paling jelas panel meter kelajuan telah dipindahkan ke hadapan pemandu berbanding sebelum ini di bahagian tengah papan pemuka.
Ia juga dilengkapi dengan spesifikasi yang dipertingkatkan, seperti sistem Smart Entry dan Push Start Button, lampu utama projektor, akustik penghadang angin dan paras lampu utama berperingkat.
Ruang but belakang juga menawarkan keluasan sehingga 506 liter dan boleh mengisi empat beg golf.
Menerusi penampilan yang berani, UMW Toyota yakin dapat mengekalkan takhta pendahulu segmen B dalam negara dan optimis menyasarkan jualan Vios baharu sebanyak 36,000 unit setahun.
Rekaan baharu ini begitu sesuai untuk konsumer golongan eksekutif muda dan remaja.