Download Movie Setia Hujung Nyawa Raya 2013
Movie Setia Hujung Nyawa Raya 2013 Part 1
Movie Setia Hujung Nyawa Raya 2013 Part 2
Disebabkan sambutan yang hangat terhadap drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang berakhir awal Februari lalu, penerbitnya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd kembali mengubat kerinduan penonton dengan menyajikan telemovie Setia Hujung Nyawa Raya sempena Aidilfitri pada 7 Ogos ini di TV3, jam 9 malam.
Masih mengekalkan pelakon yang sama iaitu Nelydia Senrose, Hairul Azreen, Raja Ema, Zila Bakarin, Ryzal Jaafar dan Amar Asyraf, telemovie kali ini lebih kelakar dan bersahaja ditambah lagi dengan kehadiran beberapa watak baru lakonan Shah Iskandar, Anzalna Nasir, Ruminah Sidek dan Aedy Ashraf.
Ditemui di lokasi penggambaran telemovie berkenaan di pinggir ibu kota, baru-baru ini, pengarahnya, Amie Maziah berkata, telemovie kali ini lebih mudah disiapkan berikutan watak utama yang dibawa Amar dan Nelydia kelihatan lebih semula jadi disebabkan masing-masing sudah faham akan karakter yang diberi.
“Jika dulu ketika menyiapkan drama bersiri ia agak sukar kerana Amar dan Nely baru pertama kali digandingkan dan mereka perlu mencari keserasian bagi menghidupkan watak yang diberi.
“Berbeza kali ini, kerja kami lebih mudah kerana mereka sudah faham apa yang perlu dilakukan, malah saya tidak perlu bersusah payah memberi banyak arahan,” katanya.
Amie berkata, berikutan ia ditayangkan pada Aidilfitri, dia tidak terlalu menekankan emosi dalam telefilem ini dan jalan ceritanya juga lebih ringkas, selain lebih banyak unsur jenaka diselitkan.
“Setia Hujung Nyawa Raya tidak lari daripada cerita asal dalam drama bersiri, cuma untuk kali ini kami menceritakan kepada penonton kesudahan kisah Ersalina dan Zain selepas mereka berkahwin dan El sedang sarat hamil tujuh bulan.
“Pelbagai emosi dan perasaan yang menghantui diri El apabila dia terpaksa beraya di kampung Zain. Lebih menyedihkan lagi hati El, kami wujudkan watak Maisara, lakonan Anzalna sebagai bekas kekasih Zain yang cuba menawan kembali hatinya.
“Banyak kisah lucu dapat ditonton sesuai dengan suasana tayangannya pada hari raya ini. Kehadiran tiga watak baru ini juga sebagai penyeri kerana fokus utama kami dalam telemovie ini ialah berkongsi kisah kehidupan El dan Zain selepas berkahwin dan menyambut hari raya,” katanya.
Setia Hujung Nyawa Raya mengisahkan pasangan muda yang baru berkahwin, Ersalina dan Zain. Ersalina atau El yang sedang hamil cenderung untuk lebih sensitif dan mudah tersinggung. Sementara itu, ibu bapa El dan Zain pergi mengerjakan umrah.
Oleh itu, Zain dan isterinya membuat keputusan untuk pulang beraya ke kampung Zain bersama neneknya. Semasa berada di kampung, hubungan El dan Zain mula goyah apabila bekas kekasih Zain iaitu Maisara muncul dalam kehidupan mereka.
Kehadiran Syawal, teman sekampung Zain yang mempunyai sikap ingin lebih bagus daripada Zain mengundang banyak masalah. Ditambah pula dengan kehadiran Qarun, remaja istimewa yang bijak mengawal situasi. Pelbagai perkara sedih dan lucu yang berlaku sepanjang mereka di kampung.
Amar & Nelydia makin serasi
Jika dulu Amar masih malu-malu dan sukar hendak menghayati watak terutamanya membabitkan watak romantik, melalui telemovie ini Amar mengakui makin selesa kerana keserasian itu sudah ada sejak berlakon bersama Nelydia dalam drama bersiri sebelum ini.
Amar berkata, selain makin serasi dan mudah melakonkan babak yang diinginkan pengarah, telemovie ini juga banyak adegan ‘flashback’ ditonjolkan berikutan kemunculan watak bekas kekasih Zain.
“Walaupun nampak agak mencabar kerana saya membawakan watak suami yang sedang berdepan dengan isteri sarat hamil, semuanya semakin mudah dilakukan kerana saya sudah faham dengan karakter sebelum ini.
“Telemovie ini diambil daripada kesinambungan drama bersiri, justeru, ia lebih mudah dan kami mengambil masa hanya enam hari saja untuk menghabiskan penggambaran ini,” katanya.
Bagi Nelydia, walaupun sudah beberapa kali memegang watak sebagai wanita hamil, kali ini dia perlu lebih berhati-hati supaya penonton tidak memperlekehkan watak wanita hamil yang dibawanya.
“Sepanjang berlakon telemovie ini, saya hamil, justeru, bukan mudah untuk saya membawakan watak ini jika tidak berhati-hati. Dari segi pergerakan dan perlakuan saya perlu buat betul-betul seperti keadaan orang sedang hamil.
“Nampak seperti mudah tetapi hakikatnya agak sukar maklumlah saya masih muda dan agresif. Jadi, apabila memegang watak wanita hamil yang sentiasa bergerak perlahan dan cara duduk yang tidak seimbang, kadangkala agak menyusahkan,” katanya.