Kebocoran filem KL Gangster 2 ke internet dua hari lepas mengundang satu kejutan besar buat penonton yang terus sabar menantikan penayangannya secara rasmi pada 3 Oktober ini.
Rata-rata peminat melahirkan rasa simpati dengan kejadian tidak dijangka itu dan menggesa agar individu yang bertanggungjawab membocorkan filem berkenaan segera dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman.
Berhubung punca kebocoran KL Gangster 2 kepada umum, penerbitnya, Yusof Haslam memberitahu bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab itu tiada kaitan dengan pembabitan orang dalam, dipetik dari Sinar Harian.
"Hanya orang tertentu sahaja menyimpan CD asal filem ini. Saya syak bahawa ia bermula ketika kami melakukan pra-tayangan di sebuah pawagam dan ketika itu saya turut hadir dalam majlis itu."
Menurut Yusof, video yang tersebar itu serupa seperti yang ditayangkan waktu itu dan dia tidak menolak kemungkinan bahawa individu yang sama terlibat.
"Filem yang berbentuk digital format itu memang senang untuk disalin malah boleh dimuatnaik terus ke internet untuk tontonan secara percuma."
"Sekarang dunia siber, petik saja jari kita boleh mendapat apa sahaja. Saya harap perkara ini dapat dijadikan iktibar untuk semua penggiat seni. Jangan mempercayai orang lain 100 peratus kerana mungkin ia akan memakan diri."