Followers

Friday, August 16, 2013

Mesir Gagal Kekang Demonstrasi Jalanan

Mesir Gagal Kekang Demonstrasi Jalanan
     KAHERAH : Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di seluruh negara dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi di Mesir semalam, kata Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan, sebanyak 25 orang dibunuh di satu lokasi protes iaitu di Dataran Ramses di sini.

Kementerian Kesihatan menyatakan, empat orang mati dalam keganasan di bandar Ismailiya dekat Terusan Suez manakala lapan lagi maut di bandar Damietta, utara Mesir.

Sumber keselamatan pula memberitahu agensi berita AFP bahawa lima penunjuk perasaan terkorban dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Ismailiya.

Sumber sama memberitahu, seorang anggota polis mati apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah pos kawalan di ibu kota Mesir di sini.

Keganasan semalam berlaku apabila penyokong Morsi berarak di beberapa buah bandar raya di Mesir dalam bantahan yang digelar (Kemarahan Jumaat).

Demonstrasi itu diadakan kerana membantah pembunuhan beratus-ratus penyokong setia Morsi dalam operasi pembersihan oleh pasukan keselamatan pada Rabu lalu.

Tunjuk perasaan itu diadakan di bandar raya ini, Iskandariah, Beni Sueif, Fayoum dan di Hurghada serta beberapa tempat lain.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian dalam negeri menyatakan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan peluru hidup jika penunjuk perasaan bertindak menyerang bangunan kerajaan. – AFP
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.