Kota Baharu, 25 Ogos - Seramai 159 orang ditahan atas pelbagai
kesalahan jenayah di Kelantan sejak Ops Cantas dilancarkan Sabtu lepas, kata Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mazlan Lazim.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 28 individu ditahan kerana terbabit
dalam kes jenayah berat seperti memiliki senjata api dan peluru
manakala selebihnya membabitkan kes dadah.
Katanya setakat hari
ini, seramai 798 individu dan 635 kenderaan diperiksa dengan lapan
kenderaan disita dan 152 saman trafik dikeluarkan.
Polis turut
merampas 182 bijil pil kuda dalam pemeriksaan dan serbuan yang
dijalankan di seluruh negeri, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mazlan berkata
dalam tiga kes terbaru, Rabu lepas, polis menahan lima lelaki dan
seorang wanita berusia antara 20 dan 55 tahun berkaitan kesalahan
memiliki senjata api dan peluru.
Beliau berkata dalam
pemeriksaan pertama pada 4.30 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Kuala Krai menahan dua lelaki berusia 20 dan 27 tahun
ketika memeriksa sebuah kereta di Guchil 2.
"Dalam
pemeriksaan itu, kita menemui selaras senapang buatan sendiri sepanjang
95 cm dan 36 butir peluru," kata Mazlan sambil menambah suspek ditahan
reman dari 21 hingga 26 Ogos untuk membantu siasatan.
Dalam
serbuan kedua pada 9.30 pagi hari yang sama di Kampung Air Dingin,
Tumpat, seorang wanita berusia 55 tahun dan anak lelakinya, 22, serta
seorang lelaki berusia 41 tahun, ditahan berikutan penemuan 276 peluru
pelbagai jenis.
"Berhubung kes itu, kita sedang mengesan seorang kontraktor berusia 55 tahun bagi membantu siasatan," kata Mazlan.
Dalam serbuan ketiga pada 9 malam di sebuah rumah tanpa nombor di
Kampung Salor, Batu Melintang, Jeli, seorang lelaki berusia 40 tahun
ditahan kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri serta 18
butir peluru timah yang dikatakan diperoleh dari negara jiran.
"Suspek yang bekerja sendiri ditahan reman bermula Rabu lepas hingga 28 Ogos ini bagi membantu siasatan," kata Mazlan.
Dalam pada itu, polis sedang memburu dua lelaki berusia dalam
lingkungan umur 20 dan 30-an untuk membantu siasatan kes samun
menggunakan senjata api di sebuah stesen minyak di Kampung Kasar, Pasir
Mas, Khamis lepas.
"Kedua-dua suspek telah dikenal pasti dan
fotofit mereka telah diedarkan. Orang ramai diminta menghubungi balai
polis berdekatan jika mempunyai maklumat berkaitan suspek," katanya. -
BERNAMA