Browse »
Home »
POLITIK
» Rakyat Kuala Besut, berhati-hatilah dengan makanan segera
oleh: dr azman ibrahim
Saya menyanjung tinggi hasrat calon Pas bagi PRK N01 Kuala Besut,
dengan janji beliau sekiranya dengan izin Allah, pengundi Kuala Besut
memilihnya untuk menjadi wakil mereka, semua gaji yang bakal diterima
tidak akan diambil walau sesen pun, sebaliknya suatu tabung akan
diwujudkan bagi faedah kebajikan rakyat yang memerlukan.
Dengan latar belakang beliau sebagai seorang kontraktor kelas A dan
dikenali sebagai insan dermawan selama ini, tentunya beliau komited
dengan apa yang diucapkan. Apatah lagi masyarakat Kuala Besut yang bakal
diwakilinya, masih sangat ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan
terutama masyarakat nelayan pantai yang tinggal di kawasan pesisiran
pantai.
Ironinya beberapa Pusat Daerah Mengundi Dun Kuala Besut
yang merangkumi lokasi pesisiran pantai adalah kubu kuat Barisan
Nasional. Sebagaimana juga yang sudah sedia dimaklumi, kawasan
penempatan di lokasi pendalaman dengan penduduk yang masih dihimpit
kemiskinan di kebanyakkan lokaliti di Terengganu masih merupakan feeder
tetap kepada undi BN.
Benarkah ungkapan, kekalkan pergantungan
keterlaluan rakyat kepada bantuan kerajaan, sampai masanya ketika undi
mereka diperlukan, semuanya akan akur dengan mudah? Kaedah memanipulasi
pelbagai program bantuan untuk rakyat dengan tujuan untuk meraih undi
bukan lagi statement yang perlu BN nafikan.
Kita mempunyai
bukti bagaimana penerima BR1M, bantuan khas awal persekolahan, bantuan
elaun sara hidup nelayan, bantuan wang ehsan, dana khas hari raya serta
pelbagai lagi penerima bantuan kebajikan yang sebenarnya semua bersumber
dari duit rakyat tetapi penerimanya dipaksa mendengar bebelan ucapan
panjang berjela dari pemimpin BN kononnya mewajibkan rakyat untuk
bersyukur dengan kerajaan BN. Apabila pemimpin BN setempat tak begitu
mempunyai kemahiran untuk membebel, penceramah upahan terdiri
bekas-bekas pemimpin buangan dari Pas pula diundang. Untuk apa semua
ini?
Bersempena PRK, tentu sekali limpahan janji akan mencurah
di Kuala Besut, walaupun mungkin ianya agar sukar dimengertikan oleh
masyarakat tempatan seumpama janji seorang pemimpin tertinggi kerajaan
pusat untuk menjadikan Manik Urai sebuah ‘bandar metropolitan’ ketika
PRK Dun Manik Urai dulu atau seumpama janji ditabur oleh seorang menteri
kerajaan pusat untuk memasang kemudahan WiFi di sebuah penempatan orang
asli ketika PRK Dun Galas.
Nasib baik kerana janji
pilihanraya tak termasuk dalam bab rasuah atau mana-mana akta sehingga
pemungkirnya boleh didakwa di mahkamah, kalau tidak akan bertambah
lagilah kerja pendakwa, loyar dan para hakim.
Limpahan beranika
projek makanan segera pelbagai jenama akan dihidangkan di mana-mana.
Bukan hanya setakat mee segera. Apatah lagi kerusi Kuala Besut seakan
penentu kelangsungan kuasa BN di Terengganu. Kalah bermakna 16:16. Suatu
testimoni perundangan yang unik akan berlaku. Untuk mempertahankan
sisa-sisa kudrat yang berada di hujung tanduk, segalanya tentu sanggup
dilakukan.
Nasihat saya kepada pengundi Dun Kuala Besut,
nikmatilah ia seadanya. Cuma berhati-hatilah, banyak makanan segera atau
fast food tidak begitu baik untuk kesihatan kita walaupun rasanya lazat
ketika dimakan. Orang Kuala Besut perlu memikirkan kesan kesihatan
untuk jangka panjang. BN telah diberi peluang selama lebih 50 tahun
menyediakan resepi untuk rakyat. Apakah juadah yang dihidangkan itu
adalah pemakanan seimbang untuk keperluan jasmani dan rohani rakyat?