SHAH ALAM – Pas menyambut baik cadangan Kedah untuk mewartakan fatwa anti Syiah dan berharap kerajaan negeri yang lain juga turut melakukan tindakan serupa.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, cadangan itu perlu dikembangkan di seluruh negara bagi mengekang penularan Syiah dalam negara ini.

“Tidak ada masalah, kita tengok dulu selepas ia diwartakan. Kita bukan orang Syiah dan tidak tahu Syiah ada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kerajaan Kedah yang mahu mewartakan fatwa anti Syiah selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat Kebangsaan pada 5 Mei 1996.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, langkah itu perlu kerana Kedah juga tidak terkecuali daripada penularan fahaman berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, tidak ada masalah dengan cadangan tersebut tetapi Kerajaan Kedah perlu melihat secara menyeluruh dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak.

Beliau  berkata, kerajaan negeri itu juga perlu mendengar kenyataan semua pihak supaya ia tidak bercanggah dengan akidah dan prinsip Islam.

“Isu ini (Syiah) perlu perbincangan. Kerajaan negeri jangan berat sebelah. Dalam negara yang mengamalkan al Sunnah Wal Jamaah, ada baik dan tidak baik. Syiah dilihat sudut yang tidak baik di Malaysia.” katanya.

Nik Zawawi berkata, kerajaan negeri perlu melihat perkara ini secara global dan jangan memperbesarkan perkara yang kecil.