Rakyat Amerika hina Raja Thailand dipenjara
BANGKOK 8 Dis. - Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan kerana menghina pemerintahan beraja Thailand, kes terbaru yang mungkin mencetuskan perselisihan antara kedua-dua negara.
Lerpong Wichaikhammat, 55, yang berketurunan Thai, mengaku bersalah pada Oktober lalu menggunakan Internet untuk menyebarkan maklumat yang menghina pemerintahan beraja di Thailand.
"Defendan telah didapati bersalah dan mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya.
"Namun dia telah mengaku bersalah, sekali gus memudahkan kes dan mahkamah mengambil keputusan untuk mengurangkan hukuman kepada dua tahun enam bulan," kata hakim di Mahkamah Jenayah di Bangkok.
Thailand merupakan antara negara yang mempunyai undang-undang ketat berhubung penderhakaan atau menghina pemerintahan beraja dan dilaporkan berlaku peningkatan besar berhubung kes-kes seperti itu sejak beberapa tahun lalu.
Lerpong turut dituduh menyediakan pautan laman web kepada biografi kontroversi mengenai Raja Bhumibol Adulyadej karya penulis AS yang diharamkan di negara ini. - REUTERS