Followers

Tuesday, December 13, 2011

Pengawal Keselamatan Bank Tembak Mati Perompak

 
Pengawal Keselamatan Bank Tembak Mati Perompak

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan bertindak bijak apabila bersembunyi sebelum menembak mati seorang perompak dalam satu rompakan di sebuah bank di Pandan Indah, Ampang di sini Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.18 petang tadi pengawal keselamatan itu dikatakan bersembunyi di satu kawasan sambil memerhati kehadiran suspek yang berumur awal 30-an itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata sebelum itu suspek yang berpakaian gelap dan memakai helmet bertutup itu telah memasuki bank tersebut sebelum mengarahkan 20 orang pelanggan meniarap dan terus melompat ke dalam kaunter.



"Kemudian perompak itu terus mengarahkan 12 kakitangan bank yang berada di bahagian kaunter supaya memasukkan RM253 ribu ke dalam beg galas yang dibawanya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata suspek yang mengambil masa 10 minit untuk melakukan rompakan itu kemudiannya ditembak di bahagian belakang kepala dari jarak 50 meter oleh pengawal itu dengan 'Pump Gun' semasa suspek hendak melarikan diri.

Amiruddin berkata suspek yang hanya ditembak sekali mati serta merta di tempat kejadian dan polis turut menemui senjata jenis 'Steyr' pada suspek.

"Mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan polis masih menyiasat identiti suspek.

"Polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di bank itu untuk menyiasat pergerakan suspek atau jika ada rakan jenayah suspek yang lain," katanya dan menambah kejadian itu adalah yang pertama di bank itu.

Sementara itu seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Phan, 50, berkata kira-kira pukul 3.15 petang beliau ternampak seorang lelaki yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di hadapan bank itu namun terus melarikan diri selepas mendengar bunyi tembakan.

"Lelaki yang memakai helmet bertutup itu berlegar-legar di hadapan bank namun terus beredar setelah mendengar tembakan dari dalam bank," katanya.


Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.