Followers

Monday, November 21, 2011

Rahsia awet muda Anuar Zain

WAJAH Anuar Zain yang menjalani rawatan pembentukan wajah.
 
Rahsia awet muda Anuar Zain Jejaka Idaman Malaya terbongkar

KETAMPANAN wajah yang disulami dengan kelunakan suara setiap kali melantunkan lagu-lagu popularnya seperti Sedetik Lebih bukan sahaja memukau tetapi sentiasa menjadi igauan peminatnya.

Begitulah kehebatan lelaki bernama Anuar Zain yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) baru-baru ini.

Anuar Zain atau Shahrul Anuar Zain membuka rahsia kecantikan wajahnya biarpun dia sudah berusia 41 tahun.

Tidak salah jika sebagai artis, dia perlu berbuat sesuatu agar wajahnya sentiasa nampak segar dan muda selain bijak menjaga keterampilan diri di khalayak.

Maka itulah, selain menjalani rutin pemakanan yang agak ketat, pelantun lagu Lelaki Ini dilihat mempunyai petua awet muda.

“Perkara utama yang amat saya titik beratkan adalah penjagaan berat badan kerana saya perlu mengekalkan berat tertentu mengikut ketinggian.

“Selain itu, saya juga memilih untuk makan lebih banyak makanan berkhasiat serta mengambil beberapa vitamin untuk mengekalkan kesihatan kulit.

“Semua itu penting kerana saya mahu merasa selesa ,” katanya kepada Hits ketika ditemui usai persembahan Majlis Makan Malam Amal Diraja Belum Temengor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.

Tanpa berselindung, Anuar mengakui dia menyedari perubahan wajahnya sesuai dengan usianya.

Justeru, lelaki bujang ini mendedahkan, dia kini menjalani rawatan pembentukkan muka atau face reshaping di sebuah pusat kecantikan di ibu kota.

“Proses ini bukanlah rawatan muka seperti botox tetapi ia lebih kepada urutan menggunakan beberapa alatan elektronik di bahagian muka.

“Tujuan proses ini adalah untuk membuang lebihan kulit terutamanya di bahagian bawah muka saya,” katanya jujur.

Anuar berkata, sesiapa sahaja yang berada dalam situasinya pasti mahu sentiasa kelihatan segak walaupun dimamah usia.

Beralih ke topik pengurusan, Anuar memberi penjelasan mengapa terjadi perpisahan di antaranya dengan pengurusnya, Rohila Tahir.

“Tidak ada apa-apa yang perlu dikecohkan kerana ini adalah keputusan kami berdua. Setelah 10 tahun bersama, kami merasakan ini merupakan keputusan terbaik untuk karier masing-masing.

“Walaupun saya masih kekok dan belum pandai untuk menyesuaikan diri tanpa kehadiran Rohila namun saya percaya perubahan ini tidak akan memendekkan rezeki saya dalam industri ,” katanya

Memilih untuk berkerjasama dengan pengurus baru, Dar Danial, Anuar memberitahu, ini merupakan kali pertama dia mendapat khidmat seorang pengurus lelaki.

“Setelah berkerjasama dengan tiga orang pengurus wanita, mungkin sudah tiba masanya saya mencuba khidmat pengurus lelaki pula.

“Syukur, Danial merupakan seorang yang cepat belajar dan sehingga kini rezeki saya juga tidak tersekat dengan perubahan besar ini,” katanya .

Memilih untuk tidak menyertai peringkat separuh akhir Muzik Muzik Disember ini untuk lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim, Anuar ada alasan yang tersendiri.

“Saya tidak suka memasuki pertandingan dan bertanding.

“Soal siapa yang akan menggantikan saya untuk menyanyikan lagu itu nanti, saya percaya mereka lebih tahu siapa yang sesuai,” katanya merendah diri.




Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.