Followers

Saturday, November 12, 2011

Penoreh getah temui ajal disengat lebah


Penoreh getah temui ajal disengat lebah

JASIN – Seorang penoreh getah maut apabila diserang sekumpulan lebah ganas ketika dia dalam perjalanan untuk menoreh getah di ladang getah milik ibunya di Kampung Baru, Tanah Pinggir Meriang, Nyalas di sini pada pukul 3.15 petang kelmarin.

Mangsa, Ameen Md. Tahir, 32, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Bekoh selepas terkena lebih 100 sengatan pada muka dan badannya.

Turut disengat lebah tersebut ialah anak saudara mangsa, Mohd. Azri Abdullah, 31, yang tiba di ladang tersebut kira-kira 10 minit selepas mangsa diserang serangga berkenaan.

Dia bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami bengkak pada belakang badan akibat puluhan sengatan lebah tersebut.

Mohd. Azri berkata, mangsa menuju ke ladang berkenaan menunggang motosikal bersendirian dari rumah ibunya di Kampung Abbey kira-kira enam kilometer dari ladang itu pada pukul 3 petang manakala dia hanya keluar 10 minit kemudian juga dengan menunggang motosikal.

“Ketika hampir tiba di ladang, tiba-tiba saya diserang sekumpulan lebah dan disengat pada muka serta badan. Saya terus memecut laju bagi melarikan diri namun lebah-lebah ini berterusan menyengat saya.

“Namun, kira-kira 200 meter, saya memberhentikan motosikal apabila melihat motosikal arwah terbalik di atas jalan manakala arwah sedang kelam-kabut menjirus badannya dengan air di tepi sebuah tong bagi mengelakkan sengatan lebah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, Ameen kemudian melompat ke dalam tong berisi air itu namun, lebah tersebut masih dapat menyengatnya kerana air di dalam tong berkenaan sedikit.

Mohd. Azri memberitahu, akibat tidak tahan sakit disengat, dia dan Ameen yang membonceng motosikalnya beredar dari situ namun, kumpulan lebah tersebut terus mengekori dan menyengat mereka sehingga kira-kira 300 meter lagi.


Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.