Followers

Tuesday, November 29, 2011

Buruh Indonesia Ke Tali Gantung Bunuh Rakan


Buruh Indonesia Ke Tali Gantung Bunuh Rakan Senegara

SHAH ALAM, 29 Nov (Bernama) -- Seorang buruh warganegara Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Selasa selepas didapati bersalah membunuh rakan senegaranya, empat tahun lepas.


Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Marionto Azlan, 37, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.


Dalam penghakiman ringkasnya, Akhtar berkata keterangan saksi yang melihat kejadian, kukuh dan tidak tergugat di peringkat pembelaan.


Beliau berkata keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata dan hujahan pihak pembelaan khususnya bahawa tertuduh tiada motif bukanlah satu keperluan untuk membuktikan kes bunuh.


"Sehubungan itu mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan tertuduh disabitkan dengan kesalahan serta dihukum gantung sampai mati," katanya.


Marionto didakwa bersama-sama empat orang yang masih bebas, membunuh Firdaus Koman, 36, juga seorang buruh, di kawasan tanah lapang Lorong Kemajuan 3, Kampung Pandan Dalam, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 7 malam pada 21 Jan 2007.


Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Sepanjang perbicaraan, seramai 20 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.