Followers

Thursday, October 27, 2011

Kejadian Lempar Cat Di Wisma FAM Berpunca Isu Harga Tiket

 
Lempar Cat Di Wisma FAM Berpunca Isu Harga Tiket

SHAH ALAM, 27 Okt (Bernama) -- Polis menolak andaian kejadian melempar cat merah di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya dekat sini berpunca daripada isu kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah bagaimanapun berkata polis akan menyiasat sama ada wujud unsur khianat atau hutang memandangkan ia boleh berlaku atas banyak sebab.

"Andaian bahawa ia adalah sebab harga tiket itu spekulasi orang, tetapi sebab sebenarnya kita akan siasat," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Koperal 'Time Base' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, lima bungkus plastik mengandungi cat merah dilempar oleh empat lelaki bermotosikal dari luar kawasan wisma itu sehingga mengotori lantai pintu depan wisma serta memercik dan bertompok pada dinding tingkat satu serta bumbung.

Sebahagian cat turut mengenai kereta seorang pengawal keselamatan yang bertugas yang diletakkan berdekatan pagar wisma, namun sebuah bas milik FAM tidak diapa-apakan.

Sebelum ini, FAM memutuskan untuk menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia daripada RM30 kepada RM50 melibatkan Terengganu dan Negeri Sembilan, Sabtu ini. Tindakan itu menimbulkan kemarahan peminat bola sepak yang merasakan kenaikan itu satu beban.

Sementara itu, Tun Hisan berkata seramai 1,113 anggota polis telah dinaikkan pangkat daripada Lans Koperal kepada Koperal secara berperingkat.

Beliau berkata kenaikan pangkat itu diberikan kepada anggota polis yang telah berkhidmat lebih lima tahun dan menunjukkan prestasi cemerlang.

Bagaimanapun, beliau berkata seramai 19 anggota yang berhadapan dengan tindakan disiplin masih belum dinaikkan pangkat sementara menunggu keputusan siasatan.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.