UMUM semestinya sudah pun mengetahui kisah pelakon, Ashraf Muslim
berpoligami yang pernah mencetuskan sedikit kekecohan tidak lama dahulu.
Biarpun ramai yang mengecam tindakannya sementelah usia perkahwinan
dengan isteri pertama, Noor Dayana Lokman masih muda, namun Ashraf
mempunyai rasionalnya ketika bernikah dengan isteri kedua, Wan Sakinah
Ahmad Saburi di Pattalung, Selatan Thailand.
Mengakui kehidupannya kini lebih bahagia, jelas Ashraf, ramai pihak sudah pun boleh menerima kehidupannya kini (berpoligami).
"Saya tahu pada awalnya, ramai yang tak suka, tapi tak mengapa sebab itu hak masing-masing untuk bersuara.
"Malah saya juga lebih gemar mendiamkan diri dan saya juga tidak
benarkan isteri-isteri saya buat kenyataan yang boleh memburukkan
keadaan," ujarnya yang ditemui selepas majlis Anugerah Industri Muzik
ke-20 (AIM 20), Sabtu lalu.
Ashraf berkata, biarpun ada yang berpendapat tanggungjawab beristeri
dua lebih besar, namun dia mempunyai cara yang tersendiri untuk berlaku
adil kepada Dayana dan Sakinah.
Katanya, mereka bertiga sering keluar dan bersembahyang bersama-sama jika masing-masing mempunyai kelapangan.
"Alhamdulillah, saya ada cara saya sendiri untuk memastikan dua-dua dapat hak masing-masing.
"Ada masanya kami akan keluar bersama, solat bersama.
"Tapi masa membataskan kami untuk berjumpa selalu sebab masing-masing
sibuk, Dayana ada kerja dia, Sakinah pun ada kerja dia," jelasnya.
Persiapan jadi bapa
Dalam pada itu, berkongsi mengenai perkembangan Sakinah yang sudah
hamil lima bulan, Ashraf berkata, dia sudah pun bersedia bergelar bapa
dan banyak belajar serta mempersiapkan diri sebagai ketua keluarga yang
terbaik untuk kedua-dua isterinya.
“Alhamdulillah, keadaan Sakinah sekarang lebih sihat, dia tidak banyak mengalami alahan atau mengidam yang bukan-bukan.
“Setakat ini kami belum tahu lagi jantina bayi tersebut, namun saya tidak kisah sama ada lelaki atau perempuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ashraf berkata, dia kini sibuk dengan projek
landskap, pengurusan majlis dan syarikat produksi miliknya.