Followers

Showing posts with label BERITA TERKINI. Show all posts
Showing posts with label BERITA TERKINI. Show all posts

Monday, December 16, 2013

Maut Akibat Berebut Kekasih

Maut akibat berebut kekasih 
Anjing pengesan dari Unit K9 turut digunakan dalam siasatan awal polis.

MALIM - Gara-gara berebut teman wanita, dua lelaki bergaduh sebelum salah seorang daripada mereka mati ditikam di dada, di dalam rumah kedai di Jalan Berkat 15, Malim Jaya, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.20 malam, mangsa warga Vietnam, Ang Prung Dung, 26, ditikam rakan senegaranya menggunakan pisau ketika bergaduh dalam satu jamuan makan malam di sebuah rumah rakan mereka, di tingkat dua bangunan rumah kedai itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mangsa yang cedera parah di dada kiri bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Melaka, kira-kira jam 11.30 malam.

“Ketika jamuan tersebut, mereka dipercayai bergaduh membabitkan seorang wanita sebelum suspek keluar dari rumah tersebut dan datang semula bersama sebilah pisau, lalu bertindak menikam dada kiri mangsa.

“Pemeriksaan awal, kami hanya menemui sarung pisau sepanjang tiga inci dipercayai senjata digunakan suspek dan kertas pembalut pisau di dalam rumah didiami lima rakan mereka yang juga warga Vietnam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.

Salehhudin berkata, berikutan itu, pihaknya kini memburu suspek berusia 26 tahun yang merupakan seorang pekerja kilang di kawasan berhampiran, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, seorang saksi warga Bangladesh yang dikenali sebagai Shasalan, 38, berkata, dia didatangi jirannya sambil menjerit meminta bantuan supaya segera menghubungi polis.

“Sebelum itu, ada seorang lelaki turun dari rumah itu dan saya nampak dia selitkan pisau di belakang pinggang, namun saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Tak lama lepas itu saya nampak jiran saya dengan beberapa warga Vietnam termasuk teman wanita mangsa turun membawa mangsa yang berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang rakan mangsa cuba menahan teksi, namun pemandunya enggan menghantar mangsa ke hospital, sebelum pemandu sebuah kereta sewa membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Aksi 'terlampau' polis tersebar

Aksi 'terlampau' polis tersebar  
Aksi seorang anggota polis yang bertindak menampar seorang lelaki yang ditahan tersebar luas dalam laman sosial.

GEORGETOWN - Aksi polis 'terlampau', itu gambaran dalam video bertajuk 'Polis Tampar Orang Awam' yang dimuat naik dalam laman Youtube sejak beberapa hari lalu.

Video berdurasi satu minit enam saat itu disaksikan kira-kira 1,230 selepas dimuat naik sejak Sabtu lalu.

Bukan sahaja tersebar di Youtube malah ramai pengguna laman sosial berkongsi video berkenaan di laman sosail Facebook dan blog.

Video yang memaparkan seorang anggota polis dari Balai Polis Bayan Baru menahan tiga lelaki warga asing terbabit boleh dianggap keterlaluan apabila anggota polis berkenaan bertindak di luar batasan dengan menampar beberapa kali serta memaki hamun tiga lelaki yang ditahan berkenaan.

Difahamkan, kejadian yang berlaku di hadapan sebuah klinik di kawasan Queensbay itu berpunca apabila dua lelaki daripada tiga lelaki berkenaan cuba melarikan diri apabila diminta berhenti untuk diperiksa.

Menurut sumber, anggota berkenaan yang ketika itu bertugas dalam Operasi Ops Payung di kawasan berkenaan meminta dua lelaki berkenaan berhenti untuk diperiksa namun tidak diendahkan mereka.

Berang dengan tindakan dua lelaki berkenaan, anggota itu bertindak mengejar mereka menggunakan motosikal dan berjaya menahan mereka sebelum berlakunya aksi itu.

Difahamkan, akibat daripada perbuatan anggota itu, beliau kini ditukarkan ke Unit Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi dalam satu kenyataannya di sini semalam berkata, Bahagian Tatatertib kontinjen negeri sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawainya yang melakukan kesalahan sehingga mencemarkan nama dan menjatuhkan imej PDRM.

“Arahan dikeluarkan kepada semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan ketua formasi untuk memastikan semua pegawai dan anggota di bawah seliaan mereka melaksanakan tugas mengikut undang-undang.

“Jangan sesekali bertindak di luar batasan serta melakukan perkara yang mencemarkan imej pasukan,” katanya.

2014 Tahun Mencabar


Cover 16

TAHUN 2014 akan menjadi masa paling mencabar kepada masyarakat terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana kerana harga barang serta perkhidmatan di negara ini, naik serentak.

Selepas PRU13, kerajaan mengumumkan satu demi satu kenaikan harga barang dan perkhidmatan, atau pengurangan serta pemansuhan subsidi, berselang dalam tempoh sebulan, sejak September lalu.

Bermula dengan pengurangan subsidi yang menyebabkan kenaikan petroleum RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, diikuti pemansuhan subsidi gula 34 sen, kemudian peningkatan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowat sejam (KWJ), semakan semula kadar gas, tambang LRT serta monorel dan kadar tol membabitkan 13 lebuh raya  seolah-olah membentuk satu siri kenaikan harga.

Semua pengumuman yang dilakukan secara ‘bertindan’ itu membuatkan rakyat tidak senang duduk, malah ada pihak menganggapnya sebagai peningkatan harga paling buruk sejak negara merdeka, 31 Ogos 1957.

Sejak harga minyak naik, 3 September lalu, masyarakat mula berjimat kerana bahan api dianggap perkara penting kerana mempengaruhi kehidupan seharian. Ini kerana, minyak adalah sumber asas bahan api penentu indeks harga pengguna (IHP).

Apabila harga minyak naik, maka kos pengangkutan akan bertambah termasuklah pengangkutan barangan. Secara tidak langsung, harga barang keperluan seperti beras, ayam, sayur dan ikan melambung tinggi.

Di negara ini, kenaikan harga minyak sangat berkait terhadap kenaikan harga barang lain; malah barangan yang tidak berhubung langsung dengan minyak pun turut naik.

Belum reda dengan kenaikan itu, masyarakat semakin resah apabila subsidi gula dimansuhkan, sebulan kemudian. Ada sesetengah pihak tidak kisah dengan kenaikan tersebut sebab mereka jarang gunakan gula di rumah, tetapi kesan rantaian terpaksa ditanggung pengguna kerana harga kuih muih dan air di kedai ‘melangit’!

Bukan itu sahaja, pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik bermula bulan depan semakin ‘menghimpit’ masyarakat kerana tentu mengundang kesan rantaian lebih besar.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan akan mengkaji semula tambang LRT dan monorel, pengangkutan awam alternatif pengguna di bandar yang semakin menekan golongan miskin bandar.
Kadar tol juga dikhabarkan akan naik melibatkan 13 lebuh raya di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan, kenaikan kadar tol tidak dapat dielak kerana ia terkandung dalam perjanjian konsesi.

Terbaru, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif mengumumkan untuk menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40 peratus bermula 1 Januari depan jika SPAD tidak mengumumkan kenaikan kadar baru, hujung tahun ini.

Semua kenaikan itu dikatakan berkaitan dengan program rasionalisasi subsidi sejak dilaksanakan pada 2010, bagaikan membiarkan rakyat terbeban untuk membeli barang keperluan dengan kadar pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan harga barang.

Rakyat semakin ‘tersepit’ apabila  kadar gaji tidak seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan di dalam negara.

Malah paling dikesalkan Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan berlaku pembaziran wang kerajaan.

Persoalannya, kenapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?

Yang pasti, keperluan rakyat perlu diutamakan kerana matlamat negara maju tidak bermakna jika masyarakat ‘menderita’ dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Sunday, December 15, 2013

Bongkar kubur nak jadi ‘Superman’

Cilacap: Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan.

Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama ‘ratu’ untuk menguasai ilmu itu.

“Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil,” katanya.

Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas membongkar kubur anak dara itu. Lelaki itu semalam berdegar-degar mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma boleh melakukannya di tempat sunyi.

“Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain.

“Bukan sebarang orang boleh buat begitu,” dakwanya.

Foto
RESI dan kain kafan yang dicurinya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam.

“Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api.
“Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya,” katanya.

Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya.

Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek.

Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi.

Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas.

Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. - Agensi

Pembunuhan pegawai JAIP: Empat dituduh

KUANTAN: Seorang pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun', Sumustapha Suradi, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi atas tuduhan dengan niat bersama dua lagi yang masih bebas melakukan pembunuhan Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek pada 10 November lalu.

Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 30, dan pengikutnya, Shaizral Eddie Nizam Shaari didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana melakukan konspirasi jenayah berkenaan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Salim Soib@Hamid, manakala semua tertuduh diwakili peguambela, Hermes Media Putra Ibrahim.

Foto

KETUA kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat (tengah) dan beberapa pengikutnya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan. FOTO Luqman Hakim Zubir

Salim kemudiannya memohon kes berkenaan dipindahkan terus ke Mahkamah Tinggi bagi sebutan kes di mahkamah berkenaan.

Keempat-empat tertuduh dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi sambil dikawal ketat polis yang lengkap bersenjata dan Harun dilihat terpaksa ditolak menggunakan kerusi roda berikutan mengalami angin ahmar.

Saturday, December 14, 2013

Pelajar Tahfiz Mati Kerana Di Bunuh


Bedah Siasat Sahkan Pelajar Tahfiz Mati Kerana Di Bunuh

 Kematian seorang pelajar tahfiz di Kota Bharu menjadi satu kes yang amat mengejutkan rakyat Malaysia dan ianya harus dipandang serius. Siasatan awal mendapati mangsa membunuh diri dan diklisifikasikan sebegai kes mati mengejut mendapat tentangan orang awam yang lebih melihat kes itu sebagai satu k bunuh yang dirancang dengan baik agar kelihatan seperti membunuh diri.
 
Apapun dari bedah siasat jelas menunjukkan yang mangsa sebenarnya telah dibunuh dan bukannya membunuh diri.

Pelajar berusia 16 tahun dan berada di tingkatan 4 Maahad Tahfiz Kok Lanas, Kelantan ini bernama Wan Ahmad Faris Bin Wan Abul Rahman. Pelajar ini dikategorikan pihak Maahad Tahfiz tersebut sebagai seorang pelajar yang baik dan amat disenangi. Arwah juga pelajar yang telah menghafaz sehingga 20 juzu’ Al-Quran.

Pihak pengurusan Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar mereka yang dijumpai meninggal di Pusat Tahfiz tersebut. Jenazah Allahyarham selamat disembahayangkan di Masjid Kg Larak , Mulong , Kota Bharu selepas fardu Asar petang semalam dan dikebumikan di kampung halaman mangsa.

Sama-sama kita doakan agar Allahyarham Adik Wan Ahmad Faris Bin Wan Abdul Rahman tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman dan dirahamati Allah SWT. InsyaAllah.

Friday, December 13, 2013

Bas terbang tembus kedai

Bas terbang tembus kedai 
Separuh bas yang menembusi dinding sebuah kedai di Jalan Pudu.

 KUALA LUMPUR - “Bas yang dipandu sangat laju sejak mula-mula saya naik. Terasa melayang-layang macam mahu terbang.”

Adu seorang penumpang sebuah bas Rapid yang terbabas sebelum menghentam dan menembusi bangunan kedai menjual pam air dan alat-alat jentera di Jalan Pudu, lewat petang hari ini.

Separuh dari bas berkenaan berada di bahagian dalam bangunan kedai itu mengakibatkan bahagian hadapan bas remuk.

Misari Nisar, 24, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat duduk bahagian belakang bas.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas, namun apa yang dia ingat, bas bergerak terlalu laju.

“Ada penumpang yang menjerit supaya bas diperlahankan tapi masa itu bas sudah ‘terbang’ ke seberang jalan. Saya terhantuk ke hadapan dan terjelepok di bawah tempat duduk hadapan, kemudian pengsan.

“Barangan peribadi saya termasuk beg, dompet dan telefon bimbit hilang sebaik saya sedar,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, seramai kira-kira 20 penumpang berada dalam bas berkenaan.

Bas berkenaan datang dari Jalan Imbi ke Jalan Pudu menuju ke arah Jalan Cheras terbabas di laluan bertentangan dan menghentam bangunan kedai terbabit.

Sumber bomba berkata, terdapat tiga mangsa termasuk seorang lelaki warga emas dan dua wanita berusia 40-an cedera ringan dalam kejadian itu dan diberi rawatan segera oleh ambulans yang tiba.

Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Lim Ho Peng, 66, berkata, ketika kejadian kedainya telah tutup daripada beroperasi.

Dia yang berada di bangunan bersebelahan terdengar bunyi dentuman yang amat kuat dari arah kedainya.

“Kedai sudah tutup dari jam 5.30 petang, tapi saya belum balik dan terdengar bunyi dentuman kuat.

“Bila saya tengok rupa-rupanya sebuah bas menghentam kedai. Banyak alat jentera untuk jualan dan pameran rosak, dirempuh bas termasuk dihempap batu dinding kedai,” katanya.

Difahamkan peralatan pam air dan alat-alat jentera yang musnah bernilai RM500 hingga RM50,000 setiap satu namun jumlah kerugian belum dikenal pasti.

Suri rumah rugi RM20,000 dakwa dipukau dua lelaki


ROMPIN - Seorang suri rumah mendakwa kerugian kira-kira RM20,000 apabila barang kemasnya hilang tanpa disedarinya selepas bertemu dengan dua lelaki ketika pulang dari pasar malam semalam.

Wanita berusia 45 tahun dari Felda Keratong 3, dekat sini itu mendakwa dirinya seperti dipukau selepas dihampiri seorang lelaki yang bertanyakan lokasi sebuah rumah yang tidak diketahuinya.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, dalam kejadian 6 petang itu, mangsa sedang menghidupkan enjin motosikalnya sebelum salah seorang suspek datang dan bertanyakan lokasi sebuah rumah, dalam loghat Sabah.

"Mangsa menjawab tidak tahu (lokasi rumah yang dicari itu). Seorang lagi lelaki (dipercayai suspek kedua) datang dari arah belakang mangsa dan mencelah dengan mengatakan dia tahu lokasi rumah tersebut.

"Suspek pertama mengucapkan terima kasih sebelum memberikan sebiji batu merah kepada mangsa dan juga lelaki yang membantunya (suspek kedua) sebagai tanda penghargaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek pertama terus beredar manakala suspek kedua bertanya kepada mangsa kegunaan batu tersebut.

"Mangsa dan suspek kedua kemudiannya mengejar suspek pertama untuk mendapatkan maklumat tentang batu itu. Suspek pertama yang dapat ditemui itu mengatakan batu itu boleh dibuat ubat seperti penawar gigitan serangga dan sebagainya.

"Suspek memaklumkan batu itu perlu dibungkus dengan kain putih dan jika tiada, gantikan dengan wang kertas seringgit," katanya.

Johari berkata, mangsa kemudiannya menanggalkan semua barangan kemas yang dipakainya seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin selepas dimaklumkan bahawa dia tidak boleh memakai barangan kemas.

"Mangsa menanggalkan semua barang kemas yang dipakainya dan memasukkannya ke dalam beg duitnya (mangsa)," katanya.

Sampai di rumah, mangsa mendapati barangan kemasnya 'bertukar' menjadi batu.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Sepasang Makhluk Halus Ditangkap

Foto

Badung: Orang ramai di kawasan Badung, Bali gempar semalam selepas sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui dan ditangkap seorang penduduk Pantai Muaya, Jimbaran.

Menurut media ketika ini jenglot berkenaan disimpan di rumah Jero Mangku Karang.
Sejak berita itu tersebar, rumah Jero dikunjungi ramai orang - termasuk dari kawasan luar - untuk melihat sendiri makhluk berkenaan.

Saksi berkata, jenglot itu berupa seperti kelawar, bertaring dan berambut seperti manusia.


Foto
 PASANGAN jenglot yang ditemui di Pantai Muaya.
“Dimaklumkan jenglot itu ditemui dua penduduk tempatan, Ketut Tarin dan Akob, di kawasan pantai dan selepas ditangkap ia diserahkan kepada Jero,” katanya.
Penduduk setempat mengenali Jero sebagai seorang tokoh spiritual yang dihormati.

Sementara itu Ketut Tarin berkata, dia hairan apabila menemui objek ganjil ketika berjalan di kawasan pantai.

Melihat keadaan itu, katanya, dia mencampak objek itu ke laut tetapi ia kembali ke pantai dalam keadaan berpelukan.

“Seolah-olah mereka enggan dipisahkan,” katanya.

Disebabkan bimbang berdepan masalah, Ketut Tarin dan Akob berbincang dan bersetuju menyerahkan jenglot berkenaan kepada tokoh spiritual yang mereka kenali, Mangku Kayun.

Sementara itu Jero berkata, jenglot itu ditemui terbaring dalam jarak kira-kira satu meter antara satu sama lain di pantai ketika Ketut Tarin dan Akob berjoging.

Mereka kemudian membawa makhluk itu ke rumahnya.

“Pada awalnya ada kuasa memancar dari jenglot berkenaan tetapi saya neutralkan supaya ia tidak memudaratkan sesiapa,” katanya.

Kenyataan itu disokong Mangku Kayun.

“Kuasanya sangat kuat tetapi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ia berjaya kami kunci,” katanya.

Menurut Mangku Kayun jenglot juga boleh digelar sebagai toyol kerana makhluk berkenaan boleh menyerupai apa saja.

Katanya, rambut jenglot yang terurai itu mungkin berasal daripada rambut manusia atau bulu kemaluan lelaki atau wanita.

“Makanannya ialah darah manusia.

“Walaupun ia kelihatan kaku, auranya hidup dan sangat kuat dan boleh disuruh melakukan apa saja, termasuk membunuh,” katanya, semalam.

Jero berkata jenglot itu dimiliki pihak tertentu sebagai alat pelaris yang ditempatkan di kotak simpanan wang. - Agensi

Thursday, December 12, 2013

BERITA GEMPAR BARU BERLAKU DI BALI MASYAALLAH !!




BERITA GEMPAR BARU BERLAKU DI BALI MASYAALLAH !!

Prihatin! Selebriti bantu mangsa banjir

Prihatin! Selebriti bantu mangsa banjir

BANJIR yang melanda wilayah Pantai Timur dan Johor masih lagi belum pulih sepenuhnya. Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia kelmarin meramalkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Pahang dan Johor Timur akan berlarutan sehingga 16 Disember ini.

Daerah Kuantan juga mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu lebih 27,700 mangsa di 35 pusat pemindahan. Simpati dengan keadaan yang menimpa penduduk di negeri kelahirannya, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, antara selebriti yang turun padang bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang.

Tampil menyampaikan sumbangan di Sekolah Menengah Gudang Rasau dan Sekolah Kebangsaan Pandan, Siti juga merancang untuk ke negeri lain yang dilanda banjir. Selain Siti, beberapa selebriti juga turut serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Antaranya ialah pelakon cantik, Fouziah Gous bersama suami tersayang, Zhafran Yusof. Menurut pelakon drama, Dendam Sarakit, ini, dia dan suami bakal berangkat ke Pantai Timur pada 21 Disember ini.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada yang memberi. Semoga Allah SWT memberi rezeki yang lebih besar kepada mereka.

"Sehingga kini, kami masih membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menderma. Mereka boleh memberi sumbangan itu melalui akaun bank CIMB, 12240036440524, atas nama suami saya, Md Zhafran bin Md Yusof.

"Kami memerlukan wang tunai untuk membeli barang-barang keperluan sekolah, masjid dan mereka yang berpindah masuk walaupun seringgit," katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Sebelum ini, Zhafran telah pun terlibat dalam misi bantuan banjir sejak seminggu yang lalu dan turut menghantar bantuan.

Emma Maembong rayu bantuan

Walaupun masih sibuk di lokasi penggambaran, namun ia tidak menghalang niat suci anak kelahiran Che Siti Wan Kembang ini, untuk terus menghulurkan bantuan.

Menerusi laman Instagram miliknya, Emma Maembong, sempat memuat naik gambar puluhan kotak berisi barangan bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

"Terima kasih banyak-banyak bagi mereka yang sudi menghulurkan bantuan. Saya sangat terharu melihat komitmen yang diberikan, malah ada yang sanggup datang dari jauh untuk hantar bantuan ini.

"Insya-ALLAH, murah rezeki mereka ini. Bantuan yang diberikan masih berjalan, lepas satu, satu kereta yang sampai depan rumah.

"Alhamdulillah sangat terharu dan kami sekeluarga sangat seronok melihat sumbangan itu," katanya yang mengakui akaun bank, Maybank miliknya telah disekat kerana terlalu banyak transaksi.

Tambah Emma, bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, ia boleh disalurkan ke akaun bank, Maybank, atas nama kakaknya, Norhashimah Jaafar (164089757094).

"Jangan risau, satu sen pun kami adik beradik tak ambil. Ini adalah peluang untuk anda semua mendapat pahala.

"Langit bukan sentiasa cerah dan kita pun tak tahu bila hari kita pula. Takkan miskin orang yang bersedekah. Saya sangat-sangat merayu agar anda semua tampil membantu.

"Saya juga berharap agar keadaan di lokasi banjir itu akan pulih seperti sedia kala, Amin...," katanya.

Aaron, Hanez atur strategi

Pelakon kacak, Aaron Aziz juga turut melancarkan kutipan derma kilat di Melaka, menerusi kelab peminatnya, Aaronators. Pada 10 Disember (semalam), bertempat di pusat membeli belah, Giant Kota Damansara, jam 8 malam, Aaron bersama kelab peminatnya menganjurkan 'Projek Banjir Aaronators'.

"Melalui program ini, kita akan membeli keperluan asas. Satu troli untuk empat orang dan belilah mengikut kemampuan.

"Apa yang penting adalah nawaitu. Sesiapa yang terlepas peluang ini, mereka boleh menderma melalui Maybank, 1515 3911 7593, atas nama, Nur Farhana Binti Abdullah.

"Wang itu akan digunakan untuk membeli keperluan seperti ubat dan lampin pakai buang. Selain itu, kami juga turut menerima derma barang terpakai," katanya.

Sementara itu, duta kepada produk kecantikan dan pemutihan, Aurawhite, juga tidak melepaskan peluang untuk turun padang.

Menurut Hanez Suraya menerusi Twitternya, Aurawhite juga turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang. Beberapa hari lalu, Hanez bersama Aurawhite telah bertolak ke Kemaman dan Kuantan untuk menghulurkan bantuan.

10 bukti Mat Sabu Syiah

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebentar tadi mendedahkan pembabitan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau lebih popular dikenali sebagai Mat Sabu, dengan fahaman Syiah berdasarkan pendedahan 10 bukti membabitkan tokoh pemimpin berkenaan.

Pendedahan itu dibuat Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi yang turut mendedahkan pemimpin nombor dua PAS itu terbabit secara aktif menerusi tulisan, ceramah, temuramah dan amalan yang menjurus kepada fahaman Syiah.
Antara bukti yang disenaraikan ialah Mohamad Sabu pernah menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Imam Khomeini yang mengamalkan fahaman Syiah melalui tulisannya dalam sebuah akhbar tempatan.

Berdasarkan maklumat KDN, Mohamad Sabu juga pernah menghadiri kelas agama yang dikendalikan ustaz berfahaman Syiah di Perak pada 2011.

Foto

Abdul Rahim berkata, KDN dan JAKIM serta JAIN akan berganding bahu memerangi ajaran Syiah.

Senarai Tempat Gangguan Bekalan Air Minggu Depan (SYABAS)



Kira-kira sejuta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur bakal menghadapi gangguan bekalan air bermula Selasa depan berikutan hentitugas (separa) sementara loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam satu kenyataan di sini berkata, gangguan bekalan air akan bermula pada 8 pagi, 17 Disember manakala tempoh pemulihan bekalan dijangka bermula pada 9 malam hari yang sama dan berterusan hingga 8 pagi 22 Disember (Ahad).

Hentitugas itu adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama seperti papan suis dan paip keluli.

Kenyataan itu menyebut ia melibatkan 217,694 akaun pengguna, termasuk di beberapa kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bekalan air di kebanyakan kawasan dijangka pulih dalam tempoh 24 jam selepas kerja-kerja hentitugas itu selesai, namun bergantung kepada kedekatan dengan sumber bekalan.

"Pihak Syabas menjangkakan kawasan yang tinggi dan jauh dari sumber air khususnya di sekitar Petaling, Kuala Lumpur dan Klang/Shah Alam adalah kawasan bekalan air yang terakhir pulih sepenuhnya,” katanya.

Syabas turut menasihatkan pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya kerana tiada lori tangki akan dibekalkan semasa tempoh gangguan itu (kecuali di hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat) memandangkan notis awal telah dikeluarkan.

Sebagai langkah persediaan awal, pihak Syabas telah meletakkan kakitangannya untuk menghadapi hentitugas berjadual ini termasuk meletakkan 66 buah lori tangki dalam keadaan bersedia serta menyediakan 750 buah tangki statik sekiranya diperlukan khasnya untuk kawasan-kawasan yang masih belum mendapat pemulihan selepas 24 jam.

Para pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Berikut adalah senarai kawasan yang bakal terlibat gangguan bekalan air:

WILAYAH KUALA LUMPUR:

1. Kawasan Bukit Kiara: Kelab Diraja Selangor; Bukit Kiara Resort; Pusat Sukan Bukit Kiara; Pusat Sains Negara; Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); Suruhanjaya Sekuriti dan Bahagian Teknologi Pendidikan Pusat Konvensyen Sime Darby.

Sebahagian kawasan Bukit Damansara: Jalan Segambir; Jalan Belimbing; Jalan Setiabistari; Jalan Setiamurni 1 hingga 12; Jalan Setiabudi; Jalan Setiarasa; Jalan Setiaraya; Jalan Setiajaya; Jalan Medan Setia; Jalan Setiabakti; Jalan Setiakasih; Plaza Damansara dan Taman Seri Beringin.

3. Kawasan Segambut: Taman Sri Sinar; Taman Sri Bintang; Taman Bukit Sri Bintang; Taman Prima Pelangi; Taman SPPK Segambut; Taman Segambut; Taman Segambut Permai; Taman Segambut Damai; Taman Segambut Muda; Taman Segambut Aman; Taman Bukit Segambut; Taman Indah Murni; Taman Prima Impian; Taman Desa; Kampung Segambut Dalam; Taman Segambut Bahagia; Kampung Segambut Tengah; Kampung Segambut Gate; Kesington Park; Changkat Kiara Bayu; Changkat Kiara Surya; Prima Duta; Menara Duta; Duta Ria; keseluruhan kawasan Mont Kiara dan Kompleks Kediaman Kakitangan Awam Jalan Duta.

4. Sebahagian kawasan Jalan Kuching dan Jalan Ipoh: Jalan Ipoh Batu 4 hingga Batu 5; Jalan Cenderuh; Jalan Kuala Kangar; Jalan Vethavanam; Jalan St.Thomas; Jalan Khalsa; Taman Kok Lian; Taman City; Kem Batu Kentomen; Taman Impian; Taman Eastern; Taman Rainbow; Taman Bamboo; Taman Million; Taman Sheng Cheng; Taman Kaya; Kawasan Perindustrian Segambut Taman Sri Kuching dan Taman Niaga Waris.

5. Kawasan Sentul: Kampung Chubadak; Kampung Bandar Dalam; Kampung Chempedak, Kampung Kovil Hilir; Taman Dato’ Senu; Taman Sentul Raya; Sentul Selatan dan Bandar Baru Sentul.

6. Kawasan Jalan Duta: Arkib Negara; Kompleks Kerajaan Jalan Duta; Masjid Wilayah Kuala Lumpur; Lembaga Peperiksaan; Ibu Pejabat BPR; Persiaran Duta; Pusat Perkembangan Kokurikulum Stadium Hoki.

7. Sebahagian kawasan Jalan Mahameru: Kawasan Taman Duta; Kawasan Bukit Tunku; Kawasan Tasik Perdana; Kawasan Parlimen; Jalan Sultan Salahuddin; Jalan Tun Ismail; Jalan Dato’ Onn; Jalan Lembah Ledang; Jalan Perlis; Jalan Kedah; Jalan Selangor; Jalan Johor dan Jalan Negeri Sembilan.

8. Kawasan Sri Hartamas: Taman Sri Hartamas, Kiara View; Kiaramas; Taman Duta Nusantara; Taman Duta Tropika; Hartamas Heights.

9. Kawasan Bukit Sentul: Jalan Kolam Air; Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); The Mall; Hentian Putra.

10. Sebahagian Jalan Tun Razak (dari Bulatan Pahang hingga persimpangan Jalan Langgak Golf): Hospital Tawakkal; Institut Perubatan Respiratori; Pusat Darah Negara; Institut Jantung Negara; Hospital Pusrawi; Jalan Semarak; Jalan Perumahan Gurney; Jalan Maktab; Jalan Padang Tembak; Flat DBKL Dato’ Keramat; Kementah; Pulapol; Wisma Tanah; JUPEM; UTM; FELDA; Pusat Latihan Telekom; Sebahagian Jalan Pahang (dari Bulatan Pahang hingga persimpangan Jalan Titiwangsa) 11. Sekitar kawasan KLCC: Suria KLCC; Kuala Lumpur Convention Centre; Menara Maxis; Mandarin Hotel; Menara Exxon Mobil; Jalan Yap Kwan Seng; Jalan Pinang.

12. Jalan Ampang (dari persimpangan Jalan Tun Razak hingga persimpangan MRR2): Jalan Langgak Golf; Jalan U Thant; Pusat Perubatan Gleneagles; Pejabat Kedutaan British; Pejabat Kedutaan Sepanyol; Pejabat Kedutaan Bangladesh; Pejabat Kedutaan Perancis; Pejabat Kedutaan Thailand; Pejabat Kedutaan China; Pejabat Kedutaan Arab Saudi; Pejabat Kedutaan Sri Lanka; Pejabat Kedutaan Russia; Pusat Penyelidikan Getah Malaysia; Jalan Ampang Hilir.

13. Sebahagian kawasan Kampung Baru: Jalan Sungai Baru; Jalan Rakam; Jalan Hamzah; Jalan Datuk Abdul Malik; Jalan Haji Sirat; Jalan Haji Yaakub; Jalan Salleh; Jalan Syed Mahadi; Jalan Haji Zainuddin; Jalan Pauh; Jalan Raja Uda Apart; Jalan Raja Uda 2; Lorong Raja Uda 1; Lorong Datuk Abdullah.

14. Semua kawasan berikut: Taman Sri Delima; Kampung Delima; Kampung Stesen; Kampung Batu 4; Taman Pandan Jaya; Taman Cempaka; Taman Bakti; Taman Nirwana; Kampung Pandan Dalam; Taman Cahaya; Pandan Cahaya; Taman Dagang; Taman Shamelin; Taman Tenaga; Taman Miharja; Taman Kobena; Desa Pandan.

WILAYAH GOMBAK:

Bandar Sri Damansara; Kepong Industrial Park; Kawasan Industri Tago; Sunway SPK; Wangsa Permai; Desa Park City; Taman Bukit Maluri; Manjalara Kepong; Desa Aman Puri; Medan Putra; Country Height Damansara Sunway SPK Harmoni 3.

WILAYAH PETALING:

Bandar Baru Sri Petaling; Desa Petaling; Jalan Klang Lama; Jalan Kuchai Lama; Kuchai Entrepreneurs Park; OUG; Jalan Penchala; Jalan Puchong; Flat Kerinchi; Kampung Kerinchi; Jalan Sungai Besi; Kampung Baru Salak Selatan; Kampung Malaysia; Kampung Pasir Baru; Pantai Dalam; Kawasan Perindustrian Batu 7 Puchong; PJ State; Seksyen 1 hingga Seksyen 10; Seksyen 18; Seksyen 52; Taman Bukit Angkasa; Taman Bukit Indah; Taman Desa; Taman Gembira; Taman Kuchai Jaya; Taman Lee Yan Lian; Taman Goodwood; Taman Salak Selatan; Taman Sungai Besi; Taman Sri Sentosa; Taman Tan Yew Lai; Bandar Tasik Selatan; Sungai Besi; Taman Perindustrian OUG; Seksyen 51A, Petaling Jaya; Taman Yarl, Jalan Klang Lama; Bandar Baru Bukit Jalil; Taman Naga Mas; Taman Salak Jaya; Bukit Jalil Golf Resort; Jalan SS2/50 hingga SS 2/72, SS2; Sungai Way, SS9; Petaling Bahagia; Lucky Garden; Taman Kuchai & Nam Fong; TUDM Kinrara; Kampung Bohol; Taman Puchong Mesra; Taman Paik Siong; Seksyen 11 hingga Seksyen 14, Petaling Jaya; Seksyen 16 hingga Seksyen 17, Petaling Jaya; Seksyen 17A, Damansara N/V; Seksyen 19 hingga Seksyen 22, Petaling Jaya.

WILAYAH KLANG/SHAH ALAM:

Seksyen 25 - Sri Lembayung; Seksyen 32; Seksyen 33; Bandar Putera; Putra Height; Kampung Bukit Lanchong; Seksyen 22; Seksyen 25 - Axis; Seksyen 26; Seksyen 27; Seksyen 28; Kampung Kebun Bunga; Kampung Baru Hicom; Subang Mas, Batu Tiga; Batu Tiga, Shah Alam; Batu 8, Bukit Kemuning; Bukit Naga; UEP; USJ Subang. - Bernama

Jason Statham tolak watak hero

Jason Statham tolak watak hero 
Jason Statham

JIKA kebanyakan aktor mengidamkan untuk membawa watak utama atau menjadi hero dalam sesebuah filem, lain pula ceritanya dengan bintang Hollywood, Jason Statham.

Teraju utama filem Homefront ini merasakan dia tidak lagi sesuai membawakan watak hero, apatah lagi ia tidak mencerminkan keperibadian sebenar dirinya.

“Ini semua berkaitan duit, peminat yang menonton akan membayar untuk filem yang mereka suka. Jadi daya penarik seorang hero memainkan perana yang sangat penting.

“Sebelum ini ada pihak yang merasakan saya tidak sesuai memainkan watak hero dalam filem aksi dan saya juga bersetuju dengan apa yang mereka fikirkan,”katanya.

MB terharu Gardenia tak mahu terima bayaran

Ahmad Said  
Ahmad Said

SHAH ALAM - Dek kerana tindakannya menahan dua buah lori Gardenia dan meminta pemandu lori mengagihkan roti tersebut kepada mangsa banjir yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menerima pujian ramai.

Namun hari ini, Ahmad pula merasa terharu apabila pihak Gardenia enggan menerima bayaran harga roti yang seperti yang dijanjikannya sewaktu kejadian itu.

Sebaliknya pihak pengurusan syarikat terbabit menganggap roti itu sebagai sumbangan mereka kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Terima kasih kepada pengurusan Gardenia yang pada hari itu saya membuka lori untuk diagihkan (roti). Asalnya kita berbincang dengan driver, pada awalnya tidak berani tetapi saya cakap dengan pegawai pengurusan dia, saya bersetuju untuk membayar harga roti tersebut.

"Apabila kita tulis surat untuk mendapatkan invois, pengurus dia kata ini sumbangan mereka untuk mangsa banjir yang terkandas. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia,” kata Ahmad.

Beliau yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman meminta dua pemandu lori Gardenia mengagihkan roti yang dibawa mereka kepada orang ramai.

Lori terbabit yang turut terkandas ekoran banjir di kawasan Chendor, pada mulanya enggan membenarkan lori mereka dibuka.

Ahmad kemudiannya berbincang dengan pengurus Gardenia di Kuala Lumpur dan bersetuju untuk membayar harga kesemua roti yang diagihkan itu kepada mangsa yang terperangkap itu.

Wednesday, December 11, 2013

(Gambar) Ajaib Cara Anai-Anai Memakan Al-Quran

SubhanaAllah-Anai-Anai-Memakan-Al-Quran-Gambar-3

SubhanaAllah!! Anai-Anai Memakan Al-Quran (Gambar) | Sangat ajaib bila kita melihat gambar yang akan di paparkan di bawah ini. Anai-anai telah memakan Al-Quran yang berusia 100 tahun, tetapi tidak semua dimakannya. Mari kita lihat gambar-gambar di bawah.

Di dalam rumah seorang muslim bernama En. Md. Farooq, penduduk Tappachabutra, Hyderabad, ANAI-ANAI telah memakan sebuah AL-QURAN yg berusia 100 tahun keseluruhan kulit naskah Al Quran dan kotak yang melindungi AL Quran tersebut telah ROSAK / HAMPIR MUSNAH kerana dimakan oleh ANAI-ANAI termasuklah TERJEMAHAN AL QURAN TERSEBUT KE DALAM BAHASA URDU. APA YANG MENAKJUBKAN ialah anai-anai tersebut

LANGSUNG TIDAK MENYENTUH HURUF-HURUF ASAL AL-QURAN YG BERTULIS DALAM BAHASA ARAB….SUBHANALLAAAH !!!!!!
SubhanaAllah Anai Anai Memakan Al Quran Gambar SubhanaAllah!! Anai Anai Memakan Al Quran (Gambar)
SubhanaAllah Anai Anai Memakan Al Quran Gambar 2 SubhanaAllah!! Anai Anai Memakan Al Quran (Gambar)
SubhanaAllah Anai Anai Memakan Al Quran Gambar 3 SubhanaAllah!! Anai Anai Memakan Al Quran (Gambar)

Pegawai polis terharu, kesal belasah semasa Bersih 3

PEGAWAI POLIS PEKAN TERHARU SUMBANGAN UNIT AMAL KESAL BELASAH MEREKA SEMASA BERSIH 3

Sampai masanya, kebaikan itu akan dihargai...

Saya mempunyai seorang teman, pegawai polis berasal dari Kelantan bertugas di satu IPD di negeri asal Perdana Menteri.

Sudah lama beliau dan keluarga adalah pengunjung tetap klinik saya setiap kali pulang ke kampungnya di Kelantan walaupun dia tahu tuan punya klinik yang merawatnya dan keluarganya adalah bekas calon PAS dalam pilihanraya umum.

Biasa kami berbual dalam banyak perkara termasuk isu-isu politik semasa negara. Kami berdua bersikap terbuka dalam perkara ini. Pandangan saya dihormati dan pandangannya juga saya hormati.

Sejurus sebelum Himpunan BERSIH 2.0 dulu, beliau bertandang ke klinik saya. Secara terbuka saya maklumkan kepadanya bahawa saya akan turut hadir ke himpunan tersebut. Sebagai seorang pegawai polis, beliau menunjukkan riak wajah tak bersetuju dengan tindakan saya sambil memaklumkan bahawa beliau juga turut diarahkan bertugas semasa himpunan tersebut. Sempat saya bergurau, "jangan katok saya deh..."

Melalui perbualan dan persahabatan untuk suatu jangka yang agak lama, saya tahu beliau seorang pegawai polis yang bukan pro pembangkang, juga bukan pro Umno.

Hari ini, kebetulan balik bercuti, beliau singgah di klinik. Kebetulan ketika lalu di hadapan Masjid Kubang Kerian, ada tergantung banner ceramah Dr Azam Tamimi. Soalan pertama yang beliau tanya selepas bersalaman, "Dr Azam Tamimi tu siapa?"

"Pemimpin HAMAS Palestin." Jelas saya ringkas.

"Saya nak cakap ko Dr satu perkara, masa banjir di Kuantan baru ni, saya cukup respect dengan sumbangan Unit Amal PAS! Sayu bila teringat balik, anggota saya belasah mereka masa Himpunan Bersih dulu..." ujarnya berbaur kesal dengan apa yang telah berlaku.

Saya hanya mendiamkan diri sambil hati kecil saya berkata, "sampai masanya kebaikan itu akan dihargai..." Dr Azman Ibrahim.

6 Gambar Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan



proton-perdana-accord-infokereta
Najib lancar Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan



PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.

Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.

Turut hadir Muhyiddin, Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Khamil berkata Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM, hari ini menyerahkan kumpulan pertama 200 unit Proton Perdana kepada kerajaan.

Beliau berkata 3,000 unit lagi akan diserahkan kepada kerajaan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun bagi menggantikan kumpulan Proton Perdana pada masa ini yang digunakan sebagai kenderaan kerajaan.

"Buat masa ini, Proton Perdana baharu itu hanya untuk kenderaan rasmi kerajaan, termasuk agensi kerajaan dan ia tidak akan dijual kepada orang awam.

"Proton juga menerima permintaan daripada kerajaan negeri dan badan berkanun untuk menukarkan Proton Perdana yang sedia namun ia tertakluk kepada kelulusan," katanya.

Mohd Khamil berkata Proton Perdana merupakan sebahagian daripada program pembangunan yang dijalankan Proton dengan kerjasama Honda Japan Ltd.

Beliau berkata ia merupakan fasa pertama program antara Proton dan Honda, menurut perjanjian kerjasama antara kedua belah pihak akhir tahun lepas.

"Kami menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas kepercayaan mereka kepada Proton dan memberikan kami peluang sekali lagi sebagai penyedia kenderaan rasmi kerajaan," katanya.

Mohd Khamil berkata penggantian model Perdana yang akan digunakan kerajaan Persekutuan adalah di bawah fasa satu perancangan Proton bagi membangunkan segmen D baharu.

Katanya Proton telah memulakan fasa dua program berkenaan yang membabitkan pembangunan seterusnya model segmen D mengikut inisiatif perkongsian platform dengan Honda Japan Ltd, dengan reka bentuk dalaman dan luaran yang baharu.

"Ia akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam tempoh 18 hingga 24 bulan. Ia akan dijual kepada orang awam," katanya.





Tuesday, December 10, 2013

Rompakan bersenjata larikan 30 ekor lembu


pistol_dan_peluru

MELAKA - Kira-kira 30 ekor lembu bernilai RM75,000 dilarikan dalam satu rompakan bersenjata di sebuah ladang lembu milik seorang penduduk tempatan berhampiran Taman Bukit Rambai di sini, awal hari ini.  

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, lima pekerja ladang warga Nepal yang sedang nyenyak tidur di rumah pekerja didatangi beberapa lelaki bersenjatakan pistol dan parang.

Seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Budiman, 40, berkata dia diacukan parang malah lehernya turut terluka dalam kejadian itu.

"Pintu rumah kami ditendang dan beberapa lelaki bersenjata pistol dan parang masuk ke dalam rumah dan mengarah kami supaya tidak melawan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Katanya dia dan empat lagi rakannya kemudian diikat sebelum penjenayah melarikan telefon bimbit dan wang tunai kesemua berjumlah RM8,000 milik mereka selain lembu ternakan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata siasatan awal mendapati terdapat kira-kira 15 penjenayah terbabit dalam rompakan berkenaan.

Penjenayah melarikan lembu tersebut menggunakan lori dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata berbahaya, katanya. - Bernama

Setahun naik 42kg


Foto

MOHAMMAD Danish bersama ibu, Normah dan ayahnya, Mohd Darus.

Kuantan: Usianya baru lima tahun, namun berat badan seorang budak lelaki meningkat mendadak hingga mencecah 57 kilogram dipercayai akibat nafsu makan yang kuat menyebabkan kedua ibu bapanya bimbangkan keadaan kesihatannya.

Akibat berat badan berlebihan, Mohammad Danish Asyraaf Mohd Darus menghadapi masalah pernafasan hingga menjejaskan kecergasannya serta terpaksa tidur dalam keadaan duduk.

Berat badan Mohammad Danish Asyraaf melebihi berat bapanya, Mohd Darus Ismail yang hanya 53 kilogram dan lebih separuh daripada berat ibunya, Normah Ahmad yang mempunyai berat 80 kilogram.

Normah, 36, berkata, berat badan anak kedua daripada tiga beradik itu pada tahun lalu cuma 15 kilogram, namun meningkat mendadak mencecah 57 kilogram.

Menurutnya, anaknya itu dilahirkan normal dengan berat 3.2 kilogram, tetapi disahkan menghadapi masalah pernafasan sejak lahir.

“Kami tidak tahu kenapa selera makannya berubah hingga berat badannya meningkat mendadak dan dia tidak dapat mengawal pemakanannya walaupun doktor menasihatkan kami berbuat demikian.

“Dia akan menangis dan memberontak jika kami menegahnya daripada makan terlalu banyak membuatkan kami buntu dan terpaksa mengikut kehendaknya,” katanya yang tinggal di Sungai Karang di sini.

Katanya, Mohammad Danish Asyraaf yang pemalu mudah memberontak selain tidak aktif bergerak kerana masalah kesihatan dihidapinya selain turut dijangkiti cacar air sejak setahun lalu.

“Pada masa ini, kami tidak dapat mengawal pemakanannya kerana dia belum boleh berfikir baik atau buruk, tetapi mungkin berbuat demikian apabila usianya semakin meningkat kerana sudah boleh memahami sendiri.

“Kami tidak memberinya sebarang ubat-ubatan untuk mengawal tabiat pemakanannya kerana bimbangkan kesan sampingan yang mungkin lebih memudaratkan kesihatannya nanti,” katanya.

Semalam, Yang Dipertua Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (BAKKISS) Wan Azlan Wan Salleh mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kerusi malas kepada kanak-kanak itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kes kanak-kanak seperti Mohammad Danish Asyraaf jarang berlaku dan menyarankan kanak-kanak itu dirujuk kepada doktor untuk rawatan sewajarnya.

“Paling penting kanak-kanak itu perlu dirujuk doktor untuk mengenal pasti punca sebenar keadaannya sama ada disebabkan masalah diet atau faktor kesihatan lain sebelum rawatan seterusnya dilakukan,” katanya.
 
© Copyright 2011 ILMU PEDOMAN HIDUP
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.